Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan menolak rayuan majikan menangguhkan pelaksanaan piawaian baru bagi perumahan kerana langkah itu sama dengan mengeksploitasi pekerja demi keuntungan.
Pindaan terhadap Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 berkuatkuasa 1 Sept lalu, tetapi Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) antara lain mendakwa majikan akan dipaksa memberhentikan pekerja untuk mematuhi undang-undang baru itu.
Setiausaha Agung MTUC, J Solomon mengecam dakwaan itu dengan menyifatkannya “alasan lemah” dan cubaan untuk memaksa kerajaan mendahulukan majikan berbanding kebajikan pekerja.
“Ini satu lagi usaha untuk mendesak kerajaan memberi keutamaan terhadap keuntungan majikan daripada memastikan pekerja mempunyai penginapan asas yang sesuai didiami,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ia adalah satu lagi contoh bagaimana MEF dan komuniti perniagaan mendakwa mereka akan mengalami kerugian kewangan akibat menambah baik kehidupan pekerja.
“Hakikatnya adalah selama beberapa dekad, majikan terus meraih keuntungan besar – bukan dengan melabur dalam teknologi baru atau automasi – tetapi dengan mengambil pekerja tempatan dan asing yang tidak mahir dengan gaji serta faedah tidak seberapa.
“Majikan sudah diberi masa mencukupi untuk patuh kerana pindaan itu diluluskan Julai 2019 dan penguatkuasaan ditangguh hingga bulan ini,” katanya sambil menambah majikan mempunyai lebih 12 bulan untuk menyediakan penginapan diperlukan.
Solomon turut menggesa kerajaan tidak tunduk kepada rayuan majikan terhadap penangguhan itu, sebaliknya memberikan mesej kuat kepada majikan.
“Alasan yang diberikan MEF adalah kosong dan mencerminkan diskriminasi secara sistemik serta eksploitasi pekerja, khasnya pendatang asing, oleh majikan negara ini.
“Kerajaan, khususnya Kementerian Sumber Manusia, tidak boleh tunduk kepada permintaan tidak beretika itu.”
Beliau memberi amaran pengabaian hak pekerja secara berterusan akan memudaratkan ekonomi negara kerana ia akan menghalang hubungan perdagangan dengan pelabur asing akibat amalan buruh paksa.
Source : https://www.freemalaysiatoday.com/…/mtuc-gesa-putrajaya-ja…/
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com