Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
SURAT perpindahan tempat kerja itu ditatapnya dengan perasaan terkejut. Lelaki itu tidak menyangka arahan itu dikeluarkan majikannya. Ini kerana, dia diarah berpindah dari Kedah ke Terengganu pada 2016. Bukan dia tidak mahu melakukannya, tetapi Azeman Omar, 48, ketika itu mahu menjaga ibunya yang lumpuh dan tidak boleh bergerak.
“Ibu saya yang merupakan pesakit diabetes perlukan perhatian kerana ubat dan rawatan yang diambilnya perlu diselia dengan teliti.
“Sekiranya ditukar, saya perlu mengambil masa lapan jam untuk pulang ke rumah jika berlaku kecemasan,” kata Azeman ketika dihubungi K2 baru-baru ini.
Azeman bekerja sebagai kerani di sebuah bank di cawangan Sungai Petani, Kedah membuat rayuan di tiga peringkat iaitu pejabat, cawangan dan ibu pejabat agar tidak dipindahkan namun tidak diendahkan.
Katanya, tindakan majikannya itu bercanggah dengan perjanjian kolektif bersama kesatuan tempat dirinya bekerja yang menyatakan perpindahan ke negeri lain tidak boleh dilakukan tanpa persetujuan pekerja.
Ujarnya yang juga pengerusi kesatuan sekerja di cawangan berkenaan ketika itu, pihak majikan turut enggan berjumpa dengan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) yang mahu menyelesaikan masalah berkenaan.
Kini, kes Azeman sedang didengar di Mahkamah Perusahaan di Kuala Lumpur dengan sokongan guaman diberikan oleh NUBE.
Terma
NUBE adalah satu satu daripada pelbagai kesatuan yang bernaung di bawah Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC).
Kisah itu adalah antara beberapa kes yang terjadi terhadap golongan pekerja di negara ini.
Bukan sedikit kisah seperti itu, malah ada yang kes yang lebih teruk pernah berlaku seperti diberhentikan dan diugut supaya keluar daripada kesatuan.
Kesatuan pekerja memainkan peranan penting dalam melindungi hak golongan berkenaan. Semua kesatuan kerja di negara ini bernaung di bawah Kongres MTUC yang bertindak sebagai payung kepada kira-kira 500,000 golongan pekerja dari pelbagai sektor seperti perladangan, perbankan, pembinaan dan perkhidmatan.
Titik tolak kesatuan pekerja di negara ini realitinya bermula daripada kewujudan kesatuan buruh Cina dan India yang dibawa masuk oleh British untuk bekerja di lombong dan ladang semasa zaman kolonial.
Kesatuan sekerja di peringkat kebangsaan bermula dengan Majlis Kesatuan Pekerja Malaya yang ditubuhkan pada 1948 sebelum dikenali sebagai Kongres Kesatuan Pekerja Malaya yang berdaftar di bawah Akta Kerja 1955. MTUC hari ini adalah kesinambungan daripada kongres tersebut.
Kesatuan sekerja di Malaysia mula rancak beroperasi pada zaman pascakemerdekaan. Ini kerana negara yang sedang mengalami proses pembangunan secara tidak langsung turut mewujudkan peluang-peluang pekerjaan.
Presidennya, Datuk Abdul Halim Mansor berkata, ketika itu golongan pekerja mula melihat apakah terma-terma pekerjaan yang boleh diterima pakai.
“Pada masa itu, tumpuan banyak diberikan kepada terma-terma pekerjaan seperti tempoh kerja 48 jam selama enam hari dan satu hari rehat dalam seminggu.
“Kemudian kita memasuki era baharu yang bukan menumpukan terma pekerjaan sahaja, malah mula melihat apakah perlindungan-perlindungan yang wajar diberikan untuk pekerja,” katanya ketika ditemui K2 di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Susulan daripada usaha-usaha MTUC, perlindungan keselamatan sosial mula diadaptasi di negara ini dengan tertubuhnya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang melindungi keselamatan sosial pekerja mengikut Konvensyen 102 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) 1952, manakala pekerja mula mendapat caruman simpanan dengan penubuhan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 1971. Kedua-dua badan itu pada awalnya merupakan jabatan kerajaan sebelum menjadi badan berkanun.
“Sebelum kewujudan dua badan itu, pekerja hanya mempunyai perlindungan insurans mengikut Akta Pampasan Pekerja 1952,” ujarnya.
Usaha
Antara usaha lain MTUC ialah perlaksanaan dasar gaji minimum pada 2013 dan Skim Insurans Pekerja (2018).
Gaji minimum dibuat bagi menjaga kebajikan pekerja agar tidak dibayar rendah dan memastikan mereka yang bekerja di luar bandar dibayar gaji yang wajar sekali gus penghijrahan ke bandar dapat dikurangkan. Skim Insurans Pekerja pula dilaksanakan bagi menjaga kebajikan pekerja yang diberhentikan.
Mengimbau kembali perjuangan MTUC, Abdul Halim berkata, banyak medan yang telah ditempuh kongres berkenaan dalam menjadi barisan hadapan perjuangan pekerja.
“Pada 1982, para pekerja di sebuah syarikat industri kimia dari Australia tidak diberikan uniform oleh syarikat itu walaupun berkali-kali pekerja meminta agar dibekalkan kerana pekerja syarikat tersebut di negara asalnya diberikan kelengkapan itu.
“Saya yang ketika itu Setiausaha Kesatuan Tapak Kerja mengadakan tindakan perusahaan dengan meminta para pekerja datang bekerja dengan seluar dalam sahaja selama dua minggu, itupun pihak kerajaan datang memeriksa produktiviti syarikat, bukannya rungutan pekerja,” jelasnya.
Ujar Abdul Halim, syarikat tersebut akhirnya bersetuju untuk memberikan mereka uniform. Tindakan itu diikuti oleh semua industri berkaitan selepas itu.
Terdapat juga kes pada 2008 apabila sebuah syarikat pembuat bekas makanan membayar pampasan kepada pekerja mereka secara ansuran sebanyak 10 kali menggunakan cek dengan sokongan peguam.
“Apa yang menyedihkan, hanya cek pertama diterima, sembilan cek seterusnya ditendang sehingga ke hari ini,” menurutnya.
Abdul Halim berkata, konflik kepentingan sentiasa wujud antara majikan dan pekerja. Majikan mahu meletakkan kos seminimum mungkin manakala pekerja mahukan faedah dan perlindungan semaksimum mungkin. Dalam situasi ‘tarik tali’ itu, seringkali kebajikan pekerja dianaktirikan demi kepentingan pemodal dan majikan.
Misalnya, dalam isu pencaruman KWSP, caruman dibuat hanya mengikut gaji pokok tanpa mengambil kira elaun-elaun lain.
Selain itu, kadar gaji maksimum untuk caruman Perkeso hanya pada RM4,000. Ini bermakna, pekerja yang bergaji lebih daripada itu tidak dapat mencarum dengan jumlah yang lebih besar mengikut gaji mereka, sekali gus menghadkan nilai perlindungan yang boleh dimanfaatkan oleh mereka.
Reformasi undang-undang
Keadaan tersebut jika tidak ditangani dikhuatiri menyebabkan lebih ramai bakat tempatan berpindah ke luar negara.
Menyentuh mengenai usaha masa kini, Abdul Halim berkata, MTUC sedang menggiatkan usaha menggesa kerajaan mereformasikan undang-undang sedia ada seperti Akta Kesatuan Sekerja 1959, Akta Hubungan Industri 1967 dan Akta Kerja 1955.
“Reformasi undang-undang ini adalah untuk memastikan ia selari dengan keadaan masa kini seperti memudahkan pendaftaran kesatuan, selain menjamin perlindungan pekerja dengan lebih baik,” tambahnya.
MTUC juga aktif membantu ahlinya, menjadi pengantara dalam menyelesaikan rungutan kesatuan, membantu kesatuan dalam berunding dengan syarikat masing-masing dan menyokong program-program kesatuan.
Bersempena Hari Pekerja yang disambut hari ini, wajar untuk para pekerja menghargai pekerjaan mereka, dan sebagai balasan, majikan juga wajib menghargai pekerja masing-masing.
Semua pekerja seharusnya berbangga dengan pekerjaan yang dilakukan selagi mana mereka percaya bahawa pekerjaan yang dilakukan itu membawa kebaikan. Oleh kerana itu, kebajikan pekerja harus dipelihara. Aktivis pekerja Amerika Syarikat, Marthin Luther King Jr. pernah mengungkapkan:
“Tiada pekerjaan yang tidak siginifikan. Semua pekerja yang mengangkat martabat manusia mempunyai maruah, penting dan seharusnya dipelihara dengan penuh kecemerlangan.”
Mempunyai kesinambungan sejarah sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan, Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC) sudah sekian �lama menjadi nadi bagi pekerja dan kesatuan sekerja di negara ini.
Source: http://www.kosmo.com.my/…/mtuc-payung-kesatuan-pekerja-nega…
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com