MTUC saran kerajaan kaji punca lebih 21,500 hilang pekerjaan
18 December 2018 Print page

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa semua majikan berhenti daripada menamatkan perkhidmatan pekerja mereka dengan cara yang tidak wajar.
Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata pihak kerajaan hendaklah secara serius menyelidik punca di sebalik 21,500 hilang sumber pendapatan dan seterusnya mendedahkan semua hasil selidik mereka kepada umum supaya perbuatan salah guna kuasa oleh majikan ini dapat dikekang.
“Kehilangan punca-punca pendapatan ini adalah satu kegagalan daripada pihak pegawai buruh (labour inspectorate) untuk menyiasat fenomena pemberhentian pekerja yang kini berlaku kepada pelbagai jenis profesion tanpa mengira pangkat.
“Hal ini dapat dibendung sekiranya penyiasatan dilakukan dengan cara yang adil dan saksama,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran yang berkata 21,532 orang kehilangan pekerjaan di seluruh negara dari 1 Januari hingga 7 Disember tahun ini.
Semalam, Kula dilaporkan berkata sejumlah besar daripada 7,755 pekerja yang kehilangan kerja adalah mereka dari 3 kategori profesion teratas yang bergaji tinggi iaitu pengurus, profesional dan juruteknik dan profesional bersekutu yang memerlukan diploma dan ijazah untuk kelayakan diterima bekerja.
Kira-kira separuh daripada mereka yang kehilangan pekerjaan di Semenanjung tahun ini adalah pekerja di Lembah Klang, katanya.
Mengulas lanjut, Solomon berkata pegawai buruh juga gagal bekerjasama dengan kesatuan pekerja apabila majikan memaklumkan niat mereka untuk melakukan pemberhentian pekerja.
Beliau berkata MTUC menerima laporan pekerja warganegara Malaysia sedang digantikan dengan pekerja asing untuk mengurangkan upah.
“Kebanyakan pekerjaan mula diklasifikasikan atau ditukar kategori dari sektor formal kepada sektor informal melalui penyumberan luar, dan pekerjaan sementara adalah kian meningkat sementara pekerjaan tetap sedang berkurangan.
“Penyumberan luar mengganggu mata pencarian pekerja tetap dan kerajaan harus menguatkuasakan undang-undang terhadap penyumberan luar yang tidak memenuhi tujuan asalnya, tetapi menggunakannya untuk mengeksploitasikan pekerja serta mengakibatkan isu sosial,” katanya.
Beliau berkata MTUC juga menerima laporan terhadap buli korporat yang mengakibatkan kematian 2 orang siswazah muda dalam tempoh 2 tahun yang lalu disebabkan oleh tekanan punca daripada bekerja terus berjam-jam sehingga awal pagi.
Katanya, kecuaian bekas menteri memberikan kuasa kepada majikan untuk memberhentikan pekerja secara “unilateral” sememangnya menidakkan hak kesatuan buruh.
“Kami menggesa menteri untuk memenuhi janji yang dikemukakan kepada rakyat dalam pilihan raya umum ke-14 untuk tidak mempraktikkan kaedah yang sama dalam menguruskan Kementerian Sumber Manusia oleh menteri sebelum ini.
“Dengan ini, menteri digesa untuk menggunakan segala kuasa yang ada untuk tindakan memberhentikan, mengguna pakai sumber luar, dan pekerjaan yang tidak tentu dan mengambil tindakan dan menyiasat majikan yang ingkar,” katanya.
Solomon berkata jika dapat dilakukan, ini dapat mengembalikan keyakinan terhadap Kementerian Sumber Manusia dan meningkatkan kredibiliti kementerian sekaligus memastikan majikan memenuhi taraf buruh di peringkat antarabangsa.
Source : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/12/18/mtuc-saran-kerajaan-kaji-punca-lebih-21500-hilang-pekerjaan/