Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyifatkan kenaikan kadar pencen Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) antara 1.2 hingga 10.4 peratus berkuat kuasa 1 September lalu, adalah relevan dan sejajar pembangunan ekonomi semasa.
Kenaikan itu sekali gus meringankan beban kakitangan swasta terutama penerima skim bencana pekerjaan dan skim keilatan bagi meneruskan kelangsungan hidup dan memperoleh manfaat sewajarnya.
Presiden MTUC, Abdul Halim Mansor berterima kasih di atas keprihatinan PERKESO yang membuat pelarasan pencen antara tempoh tiga hingga lima tahun sekali, seiring peningkatan kos sara hidup.
Katanya, kadar caruman bulanan PERKESO kekal pada 2.25 peratus daripada gaji pencarum dengan 1.75 peratus caruman dibayar majikan dan selebihnya dibayar pekerja sejak pertubuhan berkenaan ditubuhkan pada 1971.
“Di sebalik kenaikan pencen itu, kita mencadangkan Kementerian Sumber Manusia mewajibkan semua pekerja tempatan dan asing dilindungi pampasan kecederaan seperti yang diperoleh pencarum PERKESO.
“Malaysia sepatutnya mencontohi negara seperti Jepun dan Australia yang mengenakan caruman tambahan untuk melindungi pekerja.
“Negara berkenaan juga mengenakan penalti lebih tinggi bagi mengekang majikan yang tidak mencarum. Ia secara tidak langsung mengelakkan majikan tidak membuat caruman untuk pekerja.
“Oleh kerana penalti lebih tinggi, majikan perlu berjaga-jaga sekali gus menjadikan aspek keselamatan dan kesihatan sebagai pelaburan,” katanya.
PERKESO semalam mengumumkan kenaikan kadar pencen antara 1.2 peratus hingga 10.4 peratus bagi penerima faedah skim bencana pekerjaan dan skim keilatan berkuat kuasa 1 September lalu yang memanfaatkan 328,056 penerima.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Richard Riot Anak Jaem, dilaporkan berkata, penerima akan menerima bayaran tunggakan pelarasan itu mulai 26 Disember depan menerusi peruntukan RM72.62 juta untuk tahun ini dan RM238 juta, tahun depan.
Dengan itu, semua penerima pencen pada 2010 dan sebelumnya akan menerima kenaikan 10.4 peratus, 2011 (8.3 peratus), 2012 (6.6 peratus), 2013 (4.4 peratus) dan 2014 (1.2 peratus).
Abdul Halim berkata, peraturan dan kaedah mewajibkan caruman itu akan meningkatkan kutipan dana PERKESO sekali gus membolehkan pihak terbabit membanyakkan lagi skim perlindungan terhadap pekerja.
“Ini kerana kebelakangan ini kes kemalangan di tempat kerja semakin meningkat, selain ketika pekerja dalam perjalanan. Malah mental pekerja juga dilaporkan tertekan berikutan perlu bekerja lebih panjang.
“Langkah menaikkan pencen ini juga dilihat satu permulaan taraf persaraan negara dan secara tidak langsung memberikan kehidupan lebih berkualiti, kesihatan sejahtera dan meningkatkan jumlah pampasan yang diterima pencarum,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsudin Bardan, berkata pelarasan itu sememangnya akan mengurangkan beban penerima pencen ilat dan pencen PERKESO lain.
“Bagaimanapun pelarasan pencen tidak sepatutnya membabitkan tunggakan tahun sebelumnya. Lebih wajar sekiranya ia dikuatkuasakan mengikut tarikh semasa.
“Ini bagi mengelakkan PERKESO menanggung jumlah pelarasan untuk tempoh dua tahun kebelakangan ini yang menghampiri RM300 juta, dikhuatiri menyebabkan pengurangan dana termasuk pencarum pula bakal berdepan peningkatan caruman bulanannya,” katanya.
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com