RUU Kawalan Harga dan Antipencatutan dibentang
26 July 2017 Print page
KUALA LUMPUR – Rang Undang-undang Kawalan Harga dan Antipencatutan (Pindaan) 2017 bertujuan menggalakkan ketelusan dalam pempameranan, pengiklanan atau sebutan harga atau caj dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.
Rang undang-undang yang dibentang Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Henry Sum Agong itu antara lain bagi memasukkan seksyen baharu yang menyatakan mana-mana pihak yang mempamerkan apa-apa barangan perlu memasukkan dalam harga atau cajnya semua cukai, duti, caj kerajaan dan semua caj lain yang akan dikenakan ke atas barangan atau perkhidmatannya.
Pindaan terhadap akta itu juga bertujuan memberi pengawal kuasa untuk mengarahkan mana-mana orang yang membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan apa jua barangan atau perkhidmatan untuk memberi pengawal apa-apa dokumen berkenaan caj dikenakan yang difikirkan perlu oleh pengawal.
Rang undang-undang itu turut memperuntukkan mana-mana pertubuhan perbadanan yang melanggar peruntukan seksyen baharu itu boleh didenda dengan penalti am mengikut seksyen 57 akta sedia ada, tidak melebihi RM100,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, tidak melebihi RM250,000.
Bagi pihak yang bukan suatu pertubuhan perbadanan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebih RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Henry Sum turut membentangkan RUU Akta Perihal Dagangan (Pindaan) 2017 untuk bacaan kali pertama bagi meminda Akta Perihal Dagangan 2011 yang antara lain bertujuan menghendaki orang berdaftar di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 untuk mematuhi garis panduan yang telah dikeluarkan berhubung pempameran harga.
Kedua-dua RUU itu akan dibentang semula untuk bacaan kali kedua pada sesi mesyuarat Dewan Rakyat kali ini.
Source : http://www.sinarharian.com.my/nasional/ruu-kawalan-harga-dan-antipencatutan-dibentang-1.708506