Garis panduan, tip majikan pembantu rumah dilancar
26 Mei 2017 Print page
PUTRAJAYA – Malaysia telah melancarkan Garis Panduan dan Tip untuk Majikan Pembantu Rumah Asing yang mengandungi maklumat yang berguna mengenai undang-undang dan amalan terbaik berkaitan pengambilan dan penggajian pembantu rumah asing.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot ketika melancarkan penerbitan yang pertama itu di sini hari ini berkata garis panduan tersebut adalah dokumen penting yang diusahakan dan dikeluarkan secara bersama oleh kementerian dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) untuk membantu majikan pembantu rumah asing menangani dan mengendalikan situasi dan isu yang mungkin dihadapi apabila menggaji pembantu rumah asing.
Beliau berkata penerbitan garis panduan itu menunjukkan betapa seriusnya kerajaan terutama dalam memastikan kebajikan, hak dan melindungi pembantu rumah asing diberi keutamaan kerana mereka memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pembangunan negara.
“Garis panduan itu menyediakan amalan pekerjaan yang positif ke arah mewujudkan hubungan kerja yang harmoni antara majikan dan pembantu rumah mereka di samping memberi kefahaman mengenai isu-isu berkaitan komunikasi, budaya dan latihan,” kata beliau.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Seri Adenan Ab Rahman, Pakar Teknikal ILO mengenai Pekerja Rentan dan Koordinator Kerja Domestik, Keadaan Kerja dan Jabatan Kesamarataan, Claire Hobden dan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja, Datuk Mohd Jeffrey Joakim.
Riot berkata, garis panduan itu dibahagikan kepada tiga segmen utama yang menangani persoalan berkaitan prosedur dan proses pengambilan pembantu rumah asing.
“Maklumat dalam buku panduan tersebut membolehkan mereka mendapatkan pandangan yang mendalam dan maklumat yang berguna untuk memahami dengan lebih baik majikan mereka dan bekerjasama lebih rapat ke arah memupuk ikatan hubungan yang sihat dan harmoni dengan mereka,” kata beliau.
Riot berkata beratus ribu isi rumah bergantung kepada sokongan pembantu rumah, baik tempatan mahupun asing, untuk mengendalikan kerja-kerja rumah setiap hari dan tugas penjagaan.
Berdasarkan perangkaan yang disediakan oleh Jabatan Imigresen, sehingga 31 Mac tahun ini, jumlah pekerja asing di Malaysia ialah 1.83 juta dengan pembantu rumah asing 132,58 orang, kata beliau.
Garis panduan itu diterbitkan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Majikan boleh melayari laman web kementerian dan ILO untuk memuat naik teks terpilih.
Sementara itu, Presiden Persatuan Majikan Pembantu Rumah Malaysia (MAMA) Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein mengalu-alukan inisiatif itu sambil berkata : “Kita menggalakkan majikan mempunyai garis panduan ini dan mematuhinya supaya kita dapat mewujudkan hubungan yang harmoni antara majikan dan pembantu rumah.
Source : http://www.sinarharian.com.my/nasional/garis-panduan-tip-majikan-pembantu-rumah-dilancar-1.680469