Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
EKSPO Kesihatan dan Kesejahteraan Selangor 2017 atau Selangor Wellness Living Expo 2017 (SWELL 2017) merupakan penganjuran kali kedua oleh Tourism Selangor di mana acara ini merupakan salah satu acara utama yang disenaraikan dalam kalendar pelancongan untuk tahun ini.
Acara yang dijadualkan berlangsung pada 24 hingga 26 Februari 2017 ini akan diadakan di Setia City Convention Centre (SCCC) dan turut disokong Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Negeri Selangor.
Ini merupakan salah satu usaha dalam mempromosikan kempen Discover Selangor yang sedang giat dijalankan melalui sektor Pelancongan Kesihatan atau Health Tourism dan akan menjadi platform kepada produk operator kesihatan dalam mempamerkan kepada masyarakat untuk mencuba pelbagai produk kesihatan yang paling inovatif serta gaya hidup sihat dengan penglibatan 75 peserta pempamer dan 94 booth.
Wawancara bersama Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din menjelaskan lebih lanjut tentang penganjuran SWELL 2017 selain mengupas potensi Health Tourism di Selangor.
Apakah objektif utama penganjuran acara SWELL 2017 ini?
Penganjuran SWELL 2017 ini akan menjadi platform informasi kepada masyarakat berkaitan perkara kesihatan dan akan memberi kuasa kepada individu untuk menjaga kesihatan mereka sendiri seterusnya dapat membuat keputusan sendiri dalam penjagaan kesihatan mereka.
Acara ini juga akan melibatkan kerjasama bersama operator produk penjagaan kesihatan dalam menyediakan pelbagai informasi dan nasihat kesihatan kepada masyarakat melalui pameran dan forum yang disediakan.
Informasi dan nasihat kesihatan ini akan membuatkan masyarakat lebih memahami pilihan kesihatan yang dilakukan dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan fizikal, mental dan emosi masyarakat.
Selain itu, acara ini juga akan mempamerkan dan mempromosikan pusat kesihatan khususnya di Selangor melalui segmen pelancongan kesihatan dan secara tidak langsung mewujudkan masyarat yang sihat dan produktif.
Boleh nyatakan peserta pempamer yang akan menyertai acara ini dan apa kelainan yang dibawakan pada tahun ini?
Untuk kali ini, kita mendapat kerjasama daripada pelbagai sektor kesihatan dan rakan industri perubatan termasuklah penjagaan warga emas, servis dan peralatan kesihatan, hospital kerajaan dan swasta, hotel-hotel, syarikat insurans, nutrisi, kosmetik, perubatan tradisional dan sebagainya.
Kali ini juga, terdapat penglibatan khas daripada golongan profesional perubatan di mana pengunjung berpeluang bertanya soalan secara langsung kepada pakar perubatan dalam sesi seminar.
Kami turut sediakan 22 sesi seminar atau Health Talk Session daripada pakarpakar perubatan seluruh Selangor dan lebih menarik seminar ini secara percuma.
Antara pakar-pakar perubatan yang akan hadir ialah Dr. Warren Lo dari Ramsay Sime Darby Health Care, Dr. Saini Jeffrey dari KPJ Kuala Lumpur dan Santhanam Dass dari Prostrate Cancer Society Malaysia.
Bercakap tentang potensi pelancongan kesihatan atau Health Tourism di Selangor, apakah faktor tarikan utama bagi menarik kunjungan pelancong asing mahupun domestik ke Selangor?
Selangor merupakan salah satu negeri yang mempunyai paling banyak pusat kesihatan dengan kemudahan lengkap malah antara negeri yang menerima kunjungan paling ramai dalam segmen pelancongan kesihatan dalam tempoh lima tahun ini.
Salah satu faktor utama ialah kedudukan lokasi dengan akses yang strategik di mana terdapat tiga lapangan terbang utama negara seperti KLIA dan KLIA 2 di Sepang serta Subang Skypark Terminal di Subang.
Justeru, ini menawarkan akses yang sangat mudah buat pengunjung yang ingin mendapatkan servis khidmat kesihatan di Selangor di samping dapat memilih rangkaian hotel-hotel yang turut menawarkan khidmat kesihatan dan spa.
Selain itu, faktor utama lain ialah kadar yang kompetitif. Bayaran perubatan dan kos kemasukan ke hospital adalah sangat kompetitif berbanding dengan negara-negara maju lain malah kepakaran perubatan di Selangor juga berada di kedudukan antara yang terbaik.
Apakah harapan pihak Tourism Selangor dalam penganjuran acara ini khususnya?
Malaysia mempunyai reputasi yang semakin meningkat dari segi servis perubatan dan terdapat pelbagai pilihan dan pusat perubatan yang terdapat di Selangor.
Di Selangor sahaja kita mempunyai lebih 125 pusat perubatan termasuk hospital kerajaan, swasta, pusat kesihatan, spa dan sebagainya dan kami juga mempunyai pakar perubatan dengan kelayakan bertaraf antarabangsa.
Justeru, diharapkan orang ramai tidak kira usia atau golongan dapat hadir ke SWELL 2017 ini dan menggunakan sebaiknya peluang kemasukan percuma ke acara ini demi kesejahteraan hidup dan kesihatan diri mereka untuk jangka masa yang panjang.
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com