Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan mengkaji semula paras gaji minimum dan menyelaraskannya sejajar gaji kehidupan wajar dicadangkan Bank Negara, susulan tindakan Putrajaya menyemak had pendapatan garis kemiskinan (PGK) nasional daripada RM980 kepada RM2,208 semalam.
Setiausaha Agungnya, J Solomon menyambut baik semakan semula kadar kemiskinan 0.4% dibuat berdasarkan kaedah pengiraan lapuk dan menyifatkan PGK baru 5.6% lebih realistik.
Katanya, kadar baru itu mencerminkan komitmen kerajaan menangani masalah kemiskinan yang dihadapi 15 juta tenaga kerja Malaysia sejak bertahun-tahun lamanya dan lebih ketara kerana ekonomi suram akibat penularan Covid-19.
Bagaimanapun, katanya, kadar RM2,208 itu masih kurang daripada gaji bulanan RM2,700 yang disarankan MTUC untuk diambil kira dan diperbetulkan kerajaan sebagai had minimum gaji wajar, khususnya di kawasan bandar.
“Berdasarkan penetapan PGK baru pada RM2,208, kerajaan perlu mengakui gaji minimum RM1,100 hingga RM1,200, khususnya di kawasan bandar, tidak lagi realistik atau sejajar kos sara hidup. Oleh kerana garis kemiskinan itu kini ditetapkan lebih RM2,000, sudah pasti gaji minimum juga perlu diselaraskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Data atau angka kerajaan itu turut menunjukkan wujudnya ketidaksamaan pendapatan yang semakin melebar. Ketidaksamaan ini mesti ditangani segera dan tidak harus dibiarkan kepada ‘pengaruh pasaran’ atau alasan dangkal lain yang sering dilontarkan majikan dan ahli politik.
“Jurang kekayaan di Malaysia bertambah ketara ketika bahagian atau hak pekerja ke atas hasil kemakmuran negara susut sehinggakan hampir tiada yang berbaki walaupun menjadi kelompok barisan depan dalam membangunkan negara.”
Semalam, Ketua Perangkawan, Uzir Mahidin dilaporkan berkata, PGK nasional lama diguna pakai sejak 2005 dan had baru itu menjadikan jumlah isi rumah tergolong dalam kategori miskin bertambah kepada 405,441 keluarga berbanding 16,653 sebelum ini.
Ia menyusul kenyataan bekas pelapor khas kemiskinan tegar dan hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Philip Aston pada Isnin lalu yang mendakwa kerajaan baru membelakangkan komitmen pentadbiran terdahulu bagi menangani isu kemiskinan secara bersungguh-sungguh, susulan laporan satu lawatan rasmi yang menyatakan garis kemiskinan Malaysia terlalu rendah untuk mencerminkan keadaan sebenar.
Philip Alston menerusi laporan akhirnya yang dikeluarkan 6 Julai lalu, berkata pegawai kerajaan terdahulu, termasuk perdana menteri berjanji menyemak semula kadar kemiskinan negara 0.4%, tetapi kerajaan baru bertindak berlawanan ke atas komitmen itu untuk memandang serius isu kemiskinan.
Hari ini, Soloman berkata, berdasarkan kaedah pengiraan baru, kadar kemiskinan kebangsaan pada 2016 sepatutnya menghampiri 8%, bukannya 0.4% dan ini bermakna Putrajaya gagal menangani keperluan berjuta rakyat yang hidup di bawah garis kemiskinan sekurang-kurangnya 4 tahun lalu kerana tidak diiktiraf sebagai golongan miskin.
Beliau berkata, masalah kemiskinan dijangka bertambah teruk pada bulan akan datang kerana ramai yang diberhentikan atau terpaksa menerima potongan gaji akibat krisis Covid-19.
Oleh itu, katanya, MTUC berharap dengan adanya PGK baru itu, kerajaan dapat merangka dasar berkesan yang dapat
mewujudkan pekerjaan dan pekerja boleh menerima gaji serta kemudahan lebih baik, serta meningkatkan
simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Mereka yang masih dibelenggu kemiskinan adalah kumpulan pekerja B40 dan M40 yang mana gaji mereka sekian lama tepu dan tidak mampu menampung kos sara hidup tinggi, sekaligus memaksa mereka menanggung hutang isi rumah
tinggi. Inilah faktor yang telah melonjakkan kemiskinan bandar di Malaysia.
“MTUC menggesa kementerian dan agensi relevan memberi keutamaan terhadap gesaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mustapa Mohamed yang pihak berkenaan perlu mengambil maklum PGK 2019 dalam merancang dasar dan
program mereka serta mengkaji semula dasar berkaitan pembasmian kemiskinan serta bantuan sosial.
“Kita bersetuju dengan menteri, hanya menggunakan statistik tepat, kerajaan dapat merangka strategi dan dasar tepat, terutamanya dalam menyediakan Rancangan Malaysia Ke-12 dari 2021-2025 yang akan dibentangkan di Parlimen awal tahun depan.”
Source : https://www.freemalaysiatoday.com/…/mtuc-gesa-kerajaan-kaj…/
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com