Syor lanjutan moratorium untuk B40, M40 - MTUC
22 Julai 2020 Print page

KUALA LUMPUR 12 OCTOBER 2018. Setiauasaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon bercakap mengenai protes yang bakal diadakan pada 17 October ini pada sidang media mengenai bantahan kenaikan gaji minima di Jalan Tun Sambanthan 3. NSTP/NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN.
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran mewajibkan institusi kewangan meneruskan moratorium pinjaman untuk enam bulan lagi secara automatik kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan golongan berpendapatan sederhana (M40).
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon, berkata inisiatif yang akan berakhir September ini juga harus diperluaskan kepada golongan peniaga yang terjejas teruk sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.
Beliau berkata, pendekatan dilaksanakan kerajaan yang meminta golongan sasar menghubungi bank bagi lanjutan moratorium bukanlah keputusan yang tepat untuk mengatasi masalah berkenaan.
“Rakyat terutama pekerja B40 dan M40 masih dalam keadaan teruk. Ramai yang kehilangan pekerjaan atau terpaksa dipotong gaji dan mengambil cuti tahunan tanpa gaji. Banyak peniaga yang bekerja sendiri dan perniagaan kecil juga ditutup.
“Semua perkara ini adalah keperluan supaya moratorium diperluas sekurang-kurangnya untuk kumpulan sasaran dan perniagaan yang bermasalah, ” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Semalam, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata kerajaan sedang meneliti beberapa pendekatan bersama bank tempatan untuk membantu golongan sasar apabila tempoh moratorium pinjaman bank berakhir September depan.
Pada masa sama, Solomon berkata, ramai golongan terjejas memerlukan tempoh masa tambahan sekurang-kurangnya enam bulan lagi sehingga perdagangan antarabangsa dipulihkan.
Source : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/07/713697/syor-lanjutan-moratorium-untuk-b40-m40-mtuc