Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
MINGGU lalu, heboh mengenai ura-ura kerajaan akan membawa masuk sehingga 150,000 pengawal keselamatan dari Pakistan.
Isu ini mendapat reaksi pelbagai pihak yang melahirkan kebimbangan dengan nasib lebih 500,000 penganggur di Malaysia.
Mereka terpaksa bersaing dengan 3.3 juta pekerja asing di negara ini untuk ‘merebut’ peluang pekerjaan.
Ikuti wawancara Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor bersama wartawan Nor ‘Asyikin Mat Hayin, juruvideo Saiful Iskandar Ismail dan jurugambar Khairul Azhar Ahmad bagi mengupas isu ini.
Ada cadangan membawa masuk sehingga 150,000 pengawal keselamatan dari Pakistan. Komen?
Dalam konteks ini, timbul juga persoalan adakah kemasukan pengawal keselamatan dari Pakistan ini satu keperluan atau keuntungan.
Saya berpendapat, kerajaan atau majikan seharusnya memikirkan kaedah terbaik menyelesaikan masalah lambakan pekerja asing berdokumen di negara ini yang berlarutan sejak 20 tahun lalu.
Kemasukan pekerja asing di negara ini bermula pada 1990-an. Pada penghujung 2017, bilangan pekerja asing ialah 1.5 juta dan meningkat kepada 3.3 juta pada penghujung 2018.
Ini belum lagi dengan pertambahan 150,000 pengawal keselamatan dari Pakistan, jika benar mereka akan dibawa masuk.
Masalah lambakan pekerja asing masih tidak dapat diselesaikan berkemungkinan kerana pendekatan jangka pendek digunakan pada masa ini yang dilihat kurang berkesan.
Adakah khidmat mereka keperluan mendesak di negara ini?
Tidak, kerana setakat ini, tiada permohonan daripada Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) atau Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) untuk menggunakan khidmat pengawal keselamatan dari Pakistan.
Jadi mengapa kita hendak membenarkan kemasukan pekerja ini. Adakah pekerjaan ini menentukan ekonomi negara?
Cadangan kemasukan ini (pengawal keselamatan dari Pakistan) berkemungkinan kerana pemain industri sukar mendapatkan khidmat pekerja tempatan yang kurang berminat bekerja dalam bidang ini.
Berkemungkinan juga pekerja tempatan melihat kerjaya sebagai pengawal keselamatan tiada jaminan masa depan.
Saya berpendapat, kerajaan perlu menjadikan pengawal keselamatan sebagai satu profesion hingga kepada jawatan lebih tinggi iaitu pegawai keselamatan.
Ini supaya pengawal keselamatan dapat membangunkan kerjaya ini pada tahap lebih baik.
Segelintir masyarakat memandang pengawal keselamatan sebagai kerjaya tiada masa depan atau dikategorikan sebagai tahap paling rendah.
Kerajaan perlu mengambil inisiatif menubuhkan konsortium untuk menempatkan pengawal keselamatan bagi mengembangkan profesion ini setanding bidang pekerjaan lain.
Kehadiran mereka ini bakal menyekat peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
Kita tidak boleh melihat daripada sudut itu (menyekat peluang pekerja tempatan).
Apa yang lebih penting ialah bagaimana mengurus selia tenaga kerja tempatan.
Kita sebenarnya tidak memanfaatkan tenaga kerja tempatan. Malaysia mempunyai lebih 300,000 belia yang tamat persekolahan dan pengajian.
Namun apa yang terjadi, mereka ini dibiarkan begitu saja tanpa dibantu mendapatkan pekerjaan bersesuaian atau memanfaatkan kemahiran yang mereka miliki.
Cara mengawal selia tenaga kerja tempatan ini ialah dengan menempatkan mereka di satu tempat iaitu Tenaga Kerja Negara (TKN).
Mereka diberikan peluang bertugas di TKN selama setahun untuk menimba pelbagai pengalaman bekerja dalam semua bidang tanpa mengikut kelulusan.
Selepas setahun, mereka diberikan sijil pengesahan sebagai pekerja berkelayakan dan boleh memohon jawatan bersesuaian dengan kelayakan dimiliki.
Selain itu, pemain industri kurang menjadikan teknologi sebagai keutamaan menyebabkan Malaysia tidak berdaya saing kerana teknologi digunakan pada masa ini ialah tenaga kerja manusia.
Lebih 90 peratus perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS) menggunakan tenaga kerja secara manual.
Selain pembangunan teknologi ke atas industri, kita juga mahukan persijilan tapak kerja.
Melalui cara ini, industri tidak terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing.
Pada masa ini, lebih kurang 6.7 juta pekerja tempatan mendaftar di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai pencarum.
Manakala pekerja asing berdokumen pula 3.3 juta. Angka ini kemungkinan termasuk Pendatang Tanpa Izin (Pati).
Statistik ini menunjukkan tidak ada kawalan kemasukan pekerja asing di negara ini menyebabkan anak tempatan terpinggir untuk mendapatkan peluang pekerjaan.
Majikan pula lebih berminat mengambil pekerja asing berbanding pekerja tempatan kerana tidak perlu menanggung kos caruman KWSP dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Ini menjimatkan kos operasi perniagaan mereka.
Mengutamakan pekerja asing adalah tindakan mendiskriminasikan pekerja tempatan.
MTUC memandang serius perkara ini berikutan kadar pengangguran di negara ini meningkat setiap tahun dan sekarang pada kadar 4.2 peratus.
Ia tidak termasuk kakitangan diberhentikan perkhidmatan oleh majikan yang ketika ini berjumlah lebih kurang 41,000 orang.
Ini satu lagi persoalan, adakah satu keperluan kemasukan lagi pekerja asing ketika negara berhadapan krisis pemberhentian pekerja?
Warga tempatan ramai yang kehilangan pekerjaan. Bagaimana Datuk melihat kerajaan cuba menyelesaikan isu ini dengan membawa masuk lebih ramai pekerja asing?
Saya berharap kerajaan dapat menubuhkan satu badan tindakan bersama di antara kementerian dan menteri dalam menangani isu ini.
Kementerian berkaitan seperti Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan Usahawan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya boleh bekerjasama untuk mengatasi isu ini.
Sekiranya berjaya, langkah penyelesaian dapat dilakukan mengikut keperluan.
Dahulu, pekerja asing hanya berkerja dalam bidang sokongan iaitu perladangan dan pembinaan.
Namun kini, trend itu berubah apabila pekerja asing bekerja dalam semua bidang.
Senario ini membimbangkan dan MTUC melihat ia perkembangan tidak sihat kerana seharusnya mengutamakan tenaga kerja tempatan.
Selain itu, MTUC menyarankan semua pekerja (tempatan dan asing) diberikan perlindungan sosial sama rata mengikut lunas undang-undang.
Daripada itu, kita dapat mengenal pasti kemasukan pekerja asing berdokumen ini kerana keperluan atau meraih keuntungan.
Jika cadangan membawa masuk jumlah besar pekerja ini terlaksana, bagaimana Datuk melihatnya?
Saya tidak melihat kemasukan pengawal keselamatan dari Pakistan sebagai langkah positif malah ia juga tidak membantu melonjakkan ekonomi negara.
Saya juga tidak nampak kemasukan mereka (150,000 pengawal keselamatan Pakistan) meletakkan Malaysia sebagai negara yang lebih dinamik.
Sebaliknya, kita berasakan kehadiran mereka lebih memberi kesan buruk iaitu merosakkan perhubungan dan budaya.
Malaysia terlalu memberikan kelonggaran dalam kemasukan pekerja asing di negara ini.
Kini, Malaysia juga menjadi prasarana antarabangsa kerana mempunyai pekerja asing berdokumen, tanpa dokumen, pendatang asing tanpa izin dan pendatang suaka politik.
Sebab itu, kita perlu membangunkan kerjaya pengawal keselamatan sebagai profesion dan menjadi pilihan rakyat di Malaysia.
Sekiranya ia dapat dilaksanakan, tidak mustahil masalah lambakan pekerja asing di negara ini dapat diselesaikan.
Adakah kerajaan perlu menetapkan tempoh pekerja asing bekerja di negara ini bagi mengelakkan mereka terus menetap di negara ini?
Pada 1950-an, pekerja asing dibenarkan masuk ke Malaysia selama dua tahun dengan pilihan dua tahun.
Ramai tidak mengetahui konsep ini.
Tetapi pada hari ini, keadaan berbeza yang mana ada pekerja asing menetap lebih lama di Malaysia hingga 10 dan 20 tahun, malah bersama keluarga mereka.
Perkara ini terjadi kerana tiada kawalan wajib menempatkan mereka dalam satu kawasan seperti di bandar atau pekan kecil untuk bekerja secara sah dan bukannya berniaga.
Pendapat saya, pengambilan pekerja asing perlu dilakukan mengikut nisbah iaitu seorang pekerja asing diambil bekerja selepas majikan mampu menggajikan lima pekerja tempatan.
Di Singapura, kerajaannya menetapkan nisbah lebih tinggi iaitu menggajikan 10 pekerja tempatan bagi pengambilan seorang pekerja asing.
Oleh itu, kerajaan perlu menetapkan jangka masa tidak melebihi empat tahun bagi setiap pekerja asing yang bekerja di negara ini.
Tanpa penetapan jangka masa tertentu, ia membuka ruang kepada pekerja asing mengambil kesempatan terhadap kemudahan di negara ini berikutan kelonggaran sistem yang ada.
Jika keadaan ini berterusan, tidak mustahil satu hari nanti pekerja tempatan akan bekerja di bawah arahan pekerja asing.
Kita perlu mengawal perkara ini kerana prinsip asas perkhidmatan pekerja asing hanya diperlukan dalam bidang sokongan dan terhad kepada jangka masa tertentu.
Sekiranya tidak membuat rangka kerja, tidak mustahil 10 peratus pekerja asing akan menjadi warganegara.
Source : https://www.hmetro.com.my/…/bawa-masuk-jaga-pakistan-bukan-…
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com