Ikea beri cuti bersalin 1 bulan pada bapa
27 Oktober 2017 Print page
Tahukah anda, syarikat perabot terkemuka Sweeden, Ikea memperkenalkan cuti bergaji penuh 1 bulan kepada kakitangan lelaki yang menimang cahaya mata sejak 1 Januari lepas?
Ya, Ikea membenarkan kakitangan lelakinya di seluruh outlet di Asia Tenggara, termasuk Malaysia mengambil cuti bergaji selama sebulan bagi membolehkan ikatan perhubungan kekeluargaan antara bapa, ibu dan bayi berkembang baik serta sihat.
“Ia diharap memberi perubahan besar kepada kaum bapa sekaligus membolehkan kakitangan lelaki Ikea menjaga bayi mereka selama tempoh sebulan,” kata Pengarah Sumber Manusia Ikea Asia Tenggara, Lydia Song memetik laporan Astro Awani.
Lydia juga akui ia sebahagian komitmen Ikea dalam menitik berat kehidupan rumah bersama keluarga selain nilai-nilai Sweden termasuk kesamarataan di pejabat dan rumah.
“Malah kita percaya lelaki dan wanita wajar diberi peluang untuk sama-sama membesarkan anak mereka. Tahun ini, di seluruh outlet dan pejabat Ikea di Asia Tenggara kita memperkenalkan cuti bersalin 1 bulan gaji bagi membolehkan kakitangan lelaki menjaga bayi mereka,” tambahnya.
Muhammad Rizal Sunalim dinamakan sebagai kakitangan pertama di Malaysia yang memanfaatkan faedah itu.
Kata Rizal yang bertugas sebagai Ketua Kumpulan Ikea Food di outlet Ikea Cheras, ia memberinya peluang untuk menjaga bayi dan isteri tersayang.
“Inilah masa yang paling berharga untuk saya dan keluarga,” katanya.
Di Malaysia walaupun tiada undang-undang atau peraturan yang mengesahkan cuti bergaji untuk tempoh sebulan, namun beberapa syarikat seperti CIMB Bank dan Johnson & Johnson mengambil pendekatan sendiri bagi mengamalkan perkara itu.
Lazimnya para bapa diberi cuti ehsan 1 hingga 3 hari sahaja.
Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/leisure/2017/10/26/ikea-beri-cuti-bersalin-1-bulan-pada-bapa/