Indonesia rancang beku penghantaran pembantu rumah
17 Februari 2018 Print page
Moratorium penghantaran pembantu rumah ke Malaysia timbul semula susulan kematian Adelina Lisao, 26, yang didera di rumah majikannya.
PETALING JAYA: Jakarta merancang untuk membekukan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia susulan kematian Adelina Lisao, 26, yang didera di rumah majikannya.
Perkembangan ini dimaklumkan oleh Duta Besar Indonesia ke Malaysia Rusdi Kirana pada Khamis, lapor portal Sindo News.
Rusdi berkata moratorium itu bagi mencegah tragedi yang menimpa Adelina daripada berulang.
“Sudah waktunya kita keras, tidak bisa cuma wacana. Moratorium harus ditegakkan, tata kelola harus kita bereskan,” kata Rusdi menurut portal itu.
Rusdi dilaporkan mendakwa Presiden Indonesia Joko Widodo inginkan moratorium. “Kita hentikan pengiriman tenaga kerja. Hentikan pengiriman pembantu rumah tangga.”
Adelina yang mengalami kecederaan parah, termasuk luka dan lebam di badan, mati ketika dirawat di Hospital Bukit Mertajam pada 4.45 petang 11 Februari lalu dan mayatnya dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat.
Adelina ditemui kira-kira 8.00 malam Sabtu, selepas polis menerima laporan daripada pembantu Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Lim. Polis menahan seorang lelaki dan adik perempuannya yang merupakan majikan mangsa bagi membantu siasatan.
Isu kebajikan para pembantu rumah warga Indonesia antara isu yang sering berbangkit dalam hubungan antara kedua negara.
Indonesia pernah membekukan penghantaran pekerja sektor tidak formal ke Malaysia pada 2009 berikutan beberapa kes penderaan rakyatnya yang bekerja sebagai pembantu rumah oleh majikan tempatan.
Jakarta menarik balik moratorium pada 2011 apabila Malaysia dan Indonesia bersetuju melaksanakan pindaan memorandum persefahaman mengenai pengambilan dan penempatan pembantu rumah Indonesia, yang mengatur hal berkaitan upah minimum, penetapan cuti sehari, pasport dan tanggungjawab agensi pembantu rumah.
Isu moratorium ditimbulkan semula pada 2012 oleh pertubuhan-pertubuhan pekerja dan wanita Indonesia selepas kejadian seorang tenaga kerja wanita negara itu dirogol 3 anggota polis.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan 2 sebatan ke atas 3 anggota polis terbabit pada 2015.
Source : http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/02/17/indonesia-rancang-beku-penghantaran-pembantu-rumah/