Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
SLIM RIVER: Kerajaan akan meneliti tuntutan pesara bekas syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang memohon kadar bayaran pencen bulanan mereka dinaikkan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata kerajaan sedia maklum dengan perkara dibangkitkan kira-kira 200,000 pesara yang pernah bertugas di syarikat bekas GLC seperti Lembaga Letrik Negara (LLN, sekarang Tenaga Nasional Berhad), Jabatan Pos dan Telekom (sekarang Pos Malaysia Berhad dan Telekom Malaysia) serta Bank Simpanan Nasional (BSN).
Bagaimanapun, katanya, kerajaan perlu mempertimbangkan tuntutan itu dengan seadilnya kerana ada di antara mereka sudah mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Kerajaan sentiasa mengambil berat berhubung perkara ini, namun perlu mempertimbangkan caruman mereka dalam KWSP dan mungkin apa yang mereka rugi daripada skim pencen kerajaan.
“Kita akan buat cadangan dan sebagainya (mengenai kenaikan bayaran pencen) dan akan lihat secara keseluruhan.
“Pada masa sama, penjawat awam (ketika ini) juga ada banyak keperluan (yang perlu diteliti) seperti elaun dan sebagainya. Ia akan dilaksanakan secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Ziarah Kebajikan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Negeri Perak di Hospital Slim River di sini, hari ini.
Turut hadir, isterinya yang juga Yang Dipertua PUSPANITA, Puan Sri Rohani Abdullah.
Baru-baru ini, pesara bekas GLC menerusi Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) memohon kerajaan menaikkan bayaran pencen bulanan mereka kerana kebanyakan mereka hanya menerima RM150 hingga RM300 sebulan.
Bayaran itu menyebabkan kira-kira 200,000 pesara bekas GLC sukar menyara kehidupan susulan peningkatan kos sara hidup dan terpaksa mencari pekerjaan lain dalam usia persaraan.
Terdahulu, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) bersama PUSPANITA dan badan bukan kerajaan (NGO) melawat dan menghulurkan bantuan kepada lima keluarga kurang berkemampuan di Tanjung Malim dan Slim River, selain beramah mesra serta menyampaikan sumbangan kepada pesakit di Hospital Slim River.
Terdahulu, Ali berkata, Program Ramah Mesra Ketua Setiausaha Negara akan menjadi platform baginya menjelaskan pencapaian negara di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, selain menekankan mengenai penyebaran berita palsu.
Katanya, program itu bermula di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, bagi menghargai jasa kira-kira 450,000 guru yang menjadi kumpulan terbesar daripada 1.6 juta penjawat awam, sebelum diteruskan di seluruh negara.
“Saya menunjukkan data sahih mengenai kedudukan ekonomi negara, mereka yang hadir faham, sekali gus tidak akan mudah terikut dengan berita palsu.
“Kita mahu elakkan penjawat awam dan rakyat daripada terpengaruh dengan berita palsu, jadi perlu tunjukkan kejayaan dan pencapaian sebenar negara, yang turut diakui badan antarabangsa,” katanya.
Sources:https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/03/400366/kerajaan-teliti-naik-pencen-pesara-bekas-glc
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com