Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
14 Mei 2020. Rawang.
Mesyuarat pertama antara YTL Cement dan CIEU bersama MTUC akhirnya berlangsung hari ini pada 10.15 pagi untuk membincangkan isu pemberhentian pekerja oleh pihak syarikat ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
MTUC di wakili oleh saudara J Solomon selaku Setiausaha Agong MTUC dan Naib Presiden CIEU S. Chelvadurai bersama empat Ahli Jawatankuasa Tapak (Site Committee) CIEU manakala rombongan pengurusan YTL Cement merangkumi Pengarah Sumber Manusia Cik Theressa Wong dan tiga rakannya.
Pada mesyuarat itu, Cik Theressa jelas beranggapan pihaknya hanya perlu memaklumkan secara asas langkah pemberhentian pekerja itu kepada Jawatankuasa Tapak kesatuan sebelum menamatkan perkhidmatan 62 pekerja terbabit.
Beliau beranggapan sebegitu sekian lama, sekali gus tidak mengendahkan permohonan berulang kali oleh pihak kesatuan sebelum ini untuk menemui pengurusan bagi membincangkan isu berkenaan.
Mesyuarat hari ini membolehkan kesatuan mengingatkan YTL Cement mengenai tanggungjawab asasnya iaitu mengiktiraf CIEU sebagai kesatuan yang memegang hak rundingan mutlak mewakili pekerja, selaras dengan peruntukan perjanjian rundingan bersama (CA).
YTL Cement juga diperingatkan bahawa sesuatu isu yang begitu penting, yakni pemberhentian 62 pekerja, termasuk mereka yang mencurah jasa lebih 30 tahun, tidak boleh dilaksanakan TANPA rundingan bermakna dengan PIHAK KESATUAN.
Pada mesyuarat hari ini, YTL Cement telah cuba mengulangi alasan kononnya Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Kementerian Sumber Manusia, telah memberikan ‘jaminan tambahan’ kepada pihaknya untuk melaksanakan pemberhentian pekerja walaupun PKP masih berkuatkuasa.
Terkejut dengan dakwaan berkenaan, MTUC dan CIEU telah memohon YTL Cement untuk mengemukakan sebarang bukti tentang jaminan yang dikatakan diberi oleh JTK itu. Namun, pihak syarikat enggan berbuat demikian.
PIhak MTUC dan CIEU amat sangsi terhadap dakwaan kononnya JTK merestui pemberhentian pekerja semasa PKP. Kesangsian ini berasaskan kenyataan berulang kali oleh Menteri Sumber Manusia dan pegawai kementerian bahawa pekerja TIDAK HARUS diberhentikan dan MESTI dibayar upah penuh sepanjang tempoh PKP. Justeru, MTUC dan CIEU akan berusaha mendapatkan penjelasan daripada JTK mengenai dakwaan yang dibuat oleh pengurusan YTL Cement pada mesyuarat hari ini.
Ini adalah perkara serius. MTUC dan CIEU beranggapan dakwaan pengurusan YTL Cement bahawa ia dibenarkan oleh JTK menjalankan pemberhentian pekerja semasa PKP adalah tamparan kepada kredibiliti Menteri Sumber Manusia yang berulang kali menekankan bahawa majikan tidak harus berbuat demikian.
Pihak pengurusan, walaupun menegaskan ia tetap melaksanakan pemberhentian 62 pekerja berkenaan, bersetuju untuk menimbang pandangan kesatuan pada mesyuarat hari ini.
Bagaimanapun persetujuan ini jelas tidak ikhlas. Ini kerana pendirian YTL Cement pada mesyuarat pertama (hari ini) untuk tetap meneruskan pemberhentian pekerja BERCANGGAH dengan persetujuan syarikat untuk menimbang pandangan yang telah dan akan dikemukakan oleh pihak kesatuan.
Justeru, pihak kami menegaskan bahawa cadangan pemberhentian pekerja oleh YTL Cement bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga mencabuli Kod Tatakelakuan Keharmonian Industri (Code of Conduct For Industrial Harmony).
Sehubungan itu, MTUC dan CIEU telah mendesak YTL Cement untuk membatalkan langkah pemberhentian pekerja pada mesyuarat hari ini. Kami turut mengemukakan beberapa cadangan alternatif yang boleh diambil oleh syarikat untuk membela pekerja terbabit.
Akhir kata, kami akan mengambil tindakan susulan dengan mengemukakan pandangan dan cadangan tambahan secara bertulis kepada syarikat dalam usaha untuk menghasilkan penyelesaian yang memuaskan pihak terbabit, selain menjamin kebajikan pekerja sekeluarga.
Ends
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com