Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa pengguna menolak sebarang gesaan ‘memboikot’ barangan tempatan bersandarkan sentimen perkauman dan keagamaan.
Presidennya, Abdul Halim Mansor berkata, pengguna sepatutnya menyokong segala produk buatan Malaysia demi kebaikan semua warga pekerja.
Katanya, walaupun MTUC tidak mempunyai masalah dengan kempen menggalakkan penggunaan produk halal kerana ia selaras dengan tuntutan agama, tetapi ia menentang keghairahan yng ditunjukkan oleh pihak tertentu.
“Ini termasuk ahli politik yang menggunakan sentimen agama dan perkauman untuk meracuni pengguna supaya memulau produk tempatan buatan syarikat milik kaum tertentu.
“Sebarang kempen seperti ini bukan sahaja menjejaskan perpaduan negara, tetapi turut merugikan warga pekerja merentasi kaum dan agama,” katanya dalam satu kenyataan.
Bulan lepas, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad menggesa pihak yang menggerakkan kempen boikot barangan bukan Bumiputera agar menghentikannya.
Mahathir berkata, gerakan seperti itu tidak berkesan dan hanya akan mencetuskan kemarahan orang lain.
Dalam pada itu, Abdul Halim berkata, MTUC tidak mempunyai masalah jika fokus diberikan untuk meningkatkan sambutan rakyat terhadap produk Bumiputera, tanpa mencemuh atau menidakkan produk tempatan lain
Katanya, pihak lain perlu memikirkan tentang pekerja beragama Islam yang mencari nafkah halal dengan syarikat yang selama ini menghasilkan pelbagai produk yang menepati piawaian pihak berkuasa agama dan undang-undang negara ini.
“Sebarang boikot yang didorong oleh keghairahan pihak tertentu mencari pengaruh politik semata-mata harus ditolak, khususnya apabila agama dan kaum dipergunakan untuk menimbulkan provokasi dalam kalangan rakyat,” katanya.
Abdul Halim berkata MTUC juga menggesa pengguna untuk tidak menjadi mangsa helah pihak tertentu yang sanggup menggadaikan kepentingan pekerja dengan menggalakkan boikot produk syarikat tertentu atas alasan yang tidak masuk akal.
Beliau berkata, MTUC memperjuangkan kepentingan 15 juta pekerja yang sebilangan besarnya menjadi nadi sektor perindustrian dan perkhidmatan Malaysia.
“Mereka ini memerlukan pembelaan dari segi penambahbaikan gaji, faedah kebajikan dan kemudahan di tempat kerja.
“Tanggungjawab membela mereka ini sudah tentu akan menjadi lebih sukar jika sebarang boikot tidak berasas memberi kesan kepada syarikat mereka,” katanya.
Abdul Halim berkata, MTUC juga menggesa pengguna untuk tidak termakan dengan kenyataan sensasi yang hanya bertujuan menimbulkan provokasi dan kebencian.
Katanya, sebarang boikot yang mempunyai agenda sempit membawa risiko pelabur asing memulaukan Malaysia, sekali gus menjejaskan peluang pekerjaan dan masa depan rakyat Malaysia sendiri.
“Walaupun boikot sedemikian masih ‘jauh’ daripada memberi kesan kepada untung-rugi syarikat tempatan, namun MTUC terpanggil untuk memberi peringatan awal bahawa kempen sedemikian harus ditolak sepenuhnya demi kebaikan pekerja dan kesejahteraan negara,” katanya.
Source : https://www.freemalaysiatoday.com/…/mtuc-gesa-rakyat-tolak…/
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com