Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
SEPANG, 21 Jan (Bernama) — Operasi besar-besaran bagi memburu Pendatang Tanpa Izin (PATI) yang gagal mendaftar di bawah Program Khas Pengurusan PATI (PKPP) yang diadakan serentak di seluruh negara bermula 12 tengah malam tadi, membuktikan kerajaan tidak lagi berkompromi berhubung isu Pati.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata seramai 10,000 penguatkuasa di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) termasuk Jabatan Imigresen , Jabatan Sukarelawan Malaysia serta Polis Diraja Malaysia menyertai operasi paling besar yang pernah dilakukan Imigresen itu.
Ahmad Zahid berkata selepas kerajaan memberi tempoh tiga bulan kepada majikan iaitu bermula 21 Okt tahun lepas hingga semalam untuk mendaftarkan pekerja mereka di bawah PKPP, kini tiba masanya KDN bertegas terhadap mereka yang enggan melakukannya.
“Di Dalam mesyuarat pasukan Petugas khas, kita bersetuju bahawa PKPP tidak akan disambung kerana majikan telah diberikan tempoh waktu yang panjang.
“Kita memberi peluang kepada majikan kerana kasihan melihat mereka mendakwa ditipu oleh ejen tetapi mereka tetap melengahkan sehingga melanggar undang-undang dan kita tidak akan berkrompomi terhadap mereka,” katanya dalam sidang media semasa menyertai operasi Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya berhampiran Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), di Sepang, awal pagi Selasa.
Operasi yang melibatkan 700 penguatkuasa itu, turut disertai Ketua Setiausaha kementerian Datuk Mohamad Khalid Shariff dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad.
Ahmad Zahid berkata operasi tersebut akan diadakan berterusan dan mereka yang ditangkap akan dihantar pulang dalam masa tujuh hari bagi mengelak kesesakan di pusat tahanan serta mengurangkan kos perbelanjaan.
“Terdapat 15 pusat tahanan imigresen di seluruh negara dan kita juga telah wartakan beberapa tempat untuk dijadikan pusat tahanan sementara,” katanya.
PKPP dilaksanakan bagi menyelesaikan permohonan majikan yang tidak dapat memutihkan Pati diebabkan kes penipuan ejen/syarikat pengurus, mengurangkan jumlah Pati sedia ada, memastikan pematuhan undang-undang berkaitan dan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam.
PATI yang ditahan akan dihantar pulang ke negara asal dengan kosnya ditanggung oleh pekerja, majikan atau kedutaan manakala majikan yang menggaji PATI itu akan dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen.
Sementara itu di KUALA LUMPUR, sebanyak 454 Pati ditahan dalam operasi yang disertai Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang bermula selepas 12 tengah malam.
Penolong Pengarah Ketua Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Kuala Lumpur, James Musa Singa berkata daripada jumlah yang ditahan itu 372 ialah lelaki manakala 82 wanita, berusia 20 hingga 50 tahun.
Mereka terdiri daripada 257 warga Indonesia, Bangladesh (60), Myanmar (41), India (39), Nepal (30), Pakistan (18), Vietnam (2), tiga tidak dikenal pasti kewarganegaraan mereka, manakala Nigeria, Thailand, Yemen dan Togo masing-masing dengan seorang.
Operasi itu tamat pada 3 pagi dan akan dijalankan lagi secara berterusan selepas ini bagi memburu Pati yang masih tinggal secara tidak sah di Malaysia, katanya.
Dalam pada itu, Wan Junaidi berpuas hati dengan Standard Operasi Kerja (SOP) yang digunakan agensi penguatkuasa dalam operasi itu dan semasa mengendalikan Pati tanpa berlaku sebarang insiden yang tidak dingini.
Tempoh tiga bulan PKPP yang diberikan kerajaan bermula 21 Okt 2013 dan berakhir semalam yang diputuskan melalui Jawatankuasa Kabinet mengenai Pekerja
Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin Khas (JKKPA-PATI Khas), pada 2 Okt lepas bertujuan membateras kebanjiran warga asing yang tinggal di Malaysia secara tidak sah.
Di SEREMBAN, Jabatan Imigresen Negeri Sembilan menahan 32 Pati termasuk tujuh wanita dalam operasi di kawasan pembinaan di sekitar Nilai dan Seremban Isnin malam.
Pengarahnya Faizal Fazri Othman berkata mereka yang ditahan merupakan pekerja kontrak yang tinggal di tapak pembinaan yang berusia antara 21 dan 50-an dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan India.
Mereka ditahan untuk pemeriksaan lanjut sebelum dihantar ke depot tahanan Imigresen Lenggeng, katanya ketika dihubungi.
Di KUALA TERENGGANU, warga emas dan bayi berusia 8 bulan antara 135 orang yang ditahan dalam Ops bersepadu 6P yang dilakukan Jabatan Imigresen Terengganu.
Penolong Pengarah Imigresen negeri Mohd Shahrir Khalil berkata warga Indonesia, Kemboja dan Bangladesh antara yang paling banyak dikesan melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1963.
Kesemua mereka dibawa ke depot tahanan di Ajil untuk siasatan lanjut.
Di KUCHING, seramai 72 pendatang tanpa izin dari Indonesia dan Myanmar ditahan di sekitar bandar raya ini Isnin malam.
Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak Hamfatullah Syawal Ramdan berkata operasi bermula 12 tengah malam dan berakhir 3.30 pagi melibatkan 100 anggota Imigresen dibantu anggota Rela.
“Operasi malam tadi bertumpu di tapak-tapak projek pembinaan sekitar Kuching. Lokasi operasi ialah Kampung Gersik, Petra Jaya, Demak Laut dan Samariang,” katanya kepada pemberita selepas operasi di sini, malam tadi.
Selain Kuching operasi malam tadi juga dijalankan di Bau, Serian, Miri, Bintulu, Sibu dan Limbang.
Di MELAKA, 61 rakyat asing termasuk dua bayi berusia sebulan dan tujuh bulan ditahan dalam operasi di negeri ini.
Timbalan Pengarah Imigresen (Kawalan) Melaka Abu Bakar Sidek Hasan berkata mereka terdiri daripada 21 lelaki, sembilan wanita serta seorang bayi lelaki dan perempuan warga Indonesia; dua lelaki Bangladesh; 24 lelaki Myanmar dan tiga lelaki Nepal.
Di PERAK, tiga wanita Myanmar adalah antara 88 pendatang tanpa izin yang ditahan di empat lokasi di Lumut dan Manjung di sini.
Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen Perak Wan Mahmud Zuhdi Wan Hassan berkata operasi bertumpu di kawasan ladang, tapak pembinaan, kilang dan rumah setinggan.
Beliau berkata operasi tujuh jam bermula 12.30 tengah malam tadi melibatkan 98 anggota dan pegawai Imigresen, 150 anggota Rela, 20 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan lapan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara.
Di KUANTAN, seramai 37 pendatang tanpa izin di tahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi di tapak projek perumahan di Bukit Rangin di sini.
Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Pahang Razali Ahmad yang mengetuai operasi itu berkata 57 anggota dari Jabatan Imigresen, Rela dan JPAM terlibat dalam operasi yang bermula 12 tengah malam hingga 4 pagi tadi.
Di PULAU PINANG, seramai 46 pendatang asing termasuk tiga kanak-kanak ditahan dalam operasi di Flat Taman Pelangi, Juru di sini.
Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Pulau Pinang Basri Othman berkata mereka terdiri daripada 32 lelaki dan 14 wanita berusia lima hingga 40 tahun melibatkan rakyat Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan Nepal.
Di KANGAR, seramai 26 pendatang tanpa izin termasuk seorang wanita ditahan dalam operasi di tapak pembinaan Pauh dekat sini.
Timbalan Pengarah Imigresen Perlis Zulhelmi Zulkifli berkata mereka yang ditahan terdiri daripada rakyat Myanmar, Bangladesh dan Indonesia berumur antara 18 dan 48 tahun.
Di KEDAH, seramai 144 pendatang tanpa izin ditahan dalam operasi di dua lokasi di negeri ini.
Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kedah Nar Azaman Ibrahim berkata operasi bermula 12 tengah malam tadi di tapak pembinaan perumahan Taman SP Saujana, Ambangan Height di Sungai Petani dan sebuah kilang di Kuala Ketil, Baling itu melibatkan 100 anggota Imigresen.
Mereka yang ditahan terdiri daripada rakyat Myanmar, Indonesia, Bangladesh, Filipina dan Nepal berusia dari 24 hingga 48 tahun bekerja sebagai buruh binaan dan pekerja kilang.
Beliau berkata pihaknya turut menahan lima kanak-kanak lelaki dan sembilan perempuan warga Myanmar dan Indonesia berusia tiga hingga 12 tahun, yang tinggal bersama ibu bapa mereka di rumah kongsi tapak pembinaan perumahan di Taman SP Saujana.
Di JOHOR BAHARU, seramai 148 pendatang tanpa izin ditahan dalam Operasi 6P Bersepadu di empat bahagian iaitu zon barat di Kluang dan Muar, zon timur (Kota Tinggi); zon selatan (Pontian dan Nusajaya) serta zon selatan (Johor Baharu).
Timbalan Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen Johor Masri Adul berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 134 lelaki dan 14 wanita melibatkan rakyat Indonesia (94 orang), Pakistan (empat), Bangladesh (13), Nepal (23), Myanmar (lima) dan Kemboja (sembilan).
Operasi yang bertumpu di rumah-rumah kongsi tapak pembinaan itu disertai 200 anggota penguatkuasa, katanya.
Di SANDAKAN, 35 pendatang tanpa izin ditahan dalam operasi di dua kawasan setinggan Batu 8 dekat sini.
Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Cawangan Sandakan Muhammad Isa Halsey yang mengetuai operasi itu berkata kesemua rakyat Filpina itu terdiri daripada 19 lelaki dan 16 wanita berusia dari dua hingga 59 tahun.
Di TAWAU, Jabatan Imigresen Tawau menahan 76 pendatang tanpa izin dalam operasi bersepadu di sekitar pusat bandar dan dua kampung iaitu kampung James Power dan kampung Batu Empat, di sini.
Ketua Imigresen Tawau Noraini Rasi berkata mereka yang ditahan itu terdiri daripada 27 lelaki dan 49 wanita berumur enam bulan hingga 70 tahun.
Sumber: BERNAMA
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com