Tertekan akibat tidak bekerja
20 Oktober 2017 Print page
SELAMA – Lelaki yang ditemui mati dalam sebuah kereta akibat lemas terhidu asap ekzos kenderaan pada 16 Oktober lalu pernah cuba membunuh diri sebanyak dua kali, sebelum ini.
Mangsa berusia 51 tahun itu dilaporkan berbuat demikian kerana alami tekanan hidup akibat tak bekerja.
Dalam kejadian Isnin lalu, kira-kira jam 3.20 pagi, mangsa ditemui tidak sedarkan diri dalam sebuah kereta jenis Toyota Colora yang diletakkan di tepi padang Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chin Sin, berhampiran kediamannya.
Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Loo Lian Lay berkata, siasatan mendapati keadaan kenderaan berkunci termasuk pintu dan tingkap tetapi enjin dihidupkan.
“Terdapat satu hos getah daripada ekzos dipasang masuk ikut pintu belakang kenderaan terbabit.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan ketika ditemui,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, kejadian terbabit disedari isteri mangsa yang melihat kereta suaminya berada dalam keadaan mencurigakan.
“Menyedari mangsa berada dalam kereta tidak sedarkan diri, dia segera hubungi pihak berkuasa.
“Menurut isterinya itu, sebelum ini mangsa cuba bunuh diri kerana tekanan hidup akibat tidak bekerja,” katanya.
Source : http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/tertekan-akibat-tidak-bekerja-1.745188