Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
OLEH JENNIFER GOMEZ
Mengurangkan kiriman wang pekerja asing ke negara asal mereka adalah satu langkah tidak adil, bukan sahaja menyusahkan keluarga mereka tetapi mendatangkan masalah kepada Putrajaya juga, menurut pihak-pihak berkepentingan.
Mengulas cadangan itu yang dibuat bertujuan membendung ringgit daripada mengalir keluar, sebuah kesatuan sekerja berkata, kerajaan sebaliknya perlu lebih serius dalam usaha mengurangkan kebergantungan Malaysia kepada pekerja asing.
Manakala, sebuah persatuan perkhidmatan wang memberi amaran, hasil persekutuan pula yang akan terjejas sekiranya pekerja asing memilih saluran kiriman wang tidak formal.
Mereka berkata demikian sebagai respons kepada laporan Sin Chew Daily minggu lalu yang Putrajaya sedang mempertimbangkan mekanisme mengurangkan kiriman wang keluar oleh pekerja asing.
Ia akan diuruskan Kementerian Dalam Negeri dan mungkin akan melibatkan satu skim yang memerlukan pekerja membayar sebahagian daripada gaji bulanan mereka ke dalam sebuah dana.
Alternatifnya, gaji pekerja asing ini dilaporkan boleh ditolak secara terus sebagai kiriman wang masuk ke dana itu, sepertimana dilakukan sekarang dalam kes caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Tetapi Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berhujah, kerajaan tidak sepatutnya mengawal kiriman wang pekerja ini.
“Ini gaji pekerja asing, apa yang dicadangkan itu nampak tidak wajar, mereka datang ke sini untuk bekerja supaya boleh memberi makan keluarga mereka di kampung dan kerajaan pula hendak mengawal kiriman wang mereka,” kata Pengarah Eksekutif MEF Datuk Shamsuddin Bardan.
Beliau juga melahirkan kebimbangan, cadangan mengambil sebahagian gaji dan dimasukkan ke dalam satu tabung, mungkin akan meningkatkan kos mengambil mereka bekerja.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia N Gopal Kishnam (gambar, kanan) bersetuju dengan Shamsuddin, menyifatkan cadangan itu “salah dari segi fundamentalnya” dan tidak adil kepada pekerja asing
Ketika ini pun, pekerja asing perlu membayar kira-kira RM100 sebulan dalam bentuk levi kepada kerajaan, sedangkan ia sebenarnya perlu dibayar oleh majikan.
Sesetengah pekerja juga membayar tambahan RM50 sebulan untuk penginapan daripada poket mereka sendiri.
“Levi itu sekurang-kurangnya perlu ditanggung oleh majikan tetapi kerajaan sayangkan majikan sangat, mereka paksa pekerja asing yang bayar,” kata Gopal.
Beliau berkata, kebanyakan pekerja asing memperoleh RM900 sebulan dan bekerja lebih masa sehingga 14 jam sehari untuk menambah “beberapa ratus” kepada gaji mereka.
Tetapi mereka masih tidak dapat lari daripada beban kenaikan kos sara hidup di Malaysia, katanya.
Gopal berkata, daripada meletakkan sekatan, Malaysia sepatutnya berubah daripada ekonomi yang didorong tenaga kerja kepada yang berintensifkan teknologi, sepertimana dilakukan Korea Selatan dan Singapura.
Shamsudin turut bersetuju, mengatakan kerajaan perlu melihat kepada usaha mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing dan sebaliknya memastikan pekerjaan di pasar raya dan restoran diambil alih rakyat tempatan.
“Tidak ada sebab mengapa orang tempatan tidak mahu bekerja dalam sektor runcit, yang ketika ini kita lihat, kaunter di kedai semua diuruskan pekerja asing.
“Sehinggakan, apabila orang tempatan meminta kerja sementara atau separuh masa, tidak ada lagi kekosongan,” katanya.
Shamsudin berkata, dengan memastikan warga tempatan dapat bekerja di sektor tersebut, ia boleh meningkatkan ekonomi kerana kebanyakan yang berbelanja di sana adalah penduduk tempatan, bukan pekerja asing.
Presiden Persatuan Majikan Pembantu Rumah Malaysia (Mama) Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein bagaimanapun, menyambut baik cadangan mengurangkan pengaliran keluar dana sebagai satu langkah positif tetapi berkata, perlu dipastikan pekerja asing mempunyai cukup wang untuk dihantar pulang.
“Sesuatu yang baik jika ada sistem di mana kita boleh simpankan wang itu sebagai tabungan untuk mereka tetapi mereka perlukan wang yang cukup untuk memenuhi keperluan keluarga di kampung halaman,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Fauzi mencadangkan Malaysia mengkaji model yang digunakan di negara lain, seperti Kumpulan Wang Simpanan Pusat Singapura.
Impak kepada perniagaan kiriman wang
Cadangan itu boleh menjejaskan Putrajaya dengan cara lain terutama berkaitan kutipan hasil cukai barangan dan perkhidmatan (GST) apabila menggunakan perkhidmatan pengiriman wang rasmi.
Persatuan Perniagaan Perkhidmatan Wang (MAMSB) berkata, kerajaan persekutuan akan kekurangan pendapatan jika pekerja asing menggunakan saluran tidak rasmi untuk menghantar wang ke negara asal mereka.
Ia juga akan menafikan usaha Bank Negara Malaysia menggalakkan penggunaan saluran kiriman wang formal dan mengurangkan pendedahan kepada risiko pengubahan wang haram, kata persatuan itu.
Kiriman wang oleh pekerja asing yang sah meningkat sejak 2007 apabila institusi bukan perbankan yang sah seperti peminjam wang dibenarkan menyediakan perkhidmatan tersebut, kata MAMSB.
Sehubungan itu, lebih ramai pekerja asing mempunyai akses kepada saluran rasmi dan mengikut undang-undang dalam membuat kiriman wang keluar.
Ia juga tidak adil kepada pekerja asing, kata persatuan itu, kerana kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat menyebabkan jumlah yang lebih rendah dihantar pulang kepada keluarga mereka.
Antara Januari dan September tahun lalu, pekerja asing dilaporkan mengirim wang kira-kira RM23.07 bilion keluar dari Malaysia melalui kira-kira 113 juta transaksi.
Satu kaji selidik kerajaan juga mendapati, pekerja asing menghantar pulang kira-kira 80% daripada gaji mereka ke negara asal.
Angka rasmi meletakkan bilangan buruh asing yang sah di negara ini seramai 2.2 juta, walaupun MTUC menganggarkan terdapat 7 juta pekerja asing di Malaysia, selebihnya pendatang asing tanpa izin. – 28 Oktober, 2015.
Sumber: The Malaysian Insider
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com