Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) — Kerajaan memandang serius dakwaan Jabatan Buruh Amerika Syarikat (AS) mengenai kewujudan amalan buruh paksa dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) di negara ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ir Hamim Samuri berkata pandangan negatif itu mampu memberi implikasi buruk terhadap eksport elektrik dan elektronik negara dalam jangka masa panjang sekiranya langkah-langkah tidak diambil untuk mengatasinya.
“Kerajaan memandang serius tuduhan tersebut dan tidak membenarkan amalan buruh paksaan dalam kalangan syarikat dalam negara berterusan.
“Pandangan ini turut dimaklumkan kepada AS,” katanya ketika menjawab pertanyaan Sim Tze Tzin (Bayan Baru-PKR) mengenai tindakan susulan kerajaan setelah produk E&E buatan Malaysia disenarai hitam sebagai barangan buatan buruh paksaan oleh kerajaan AS pada 1 Dis 2014.
Beliau berkata bagi menangani isu itu, kerajaan melaksanakan pelbagai langkah berterusan termasuk menyiasat dakwaan tersebut dan peningkatan penguatkuasaan oleh agensi kerajaan yang terlibat.
“Aktiviti-aktiviti koordinasi antara agensi kerajaan diperkukuh dan sesi konsultasi bersama industri ditingkatkan selain menyokong inisiatif industri untuk mengawal selia sendiri sektor elektrik dan elektronik melalui tatakelakuan ‘Electronic Industry Citizenship Coalition (EICC),” katanya.
Turut diadakan pelaksanaan program kesedaran mengenai isu berkaitan buruh paksaan dan menjalinkan kerjasama erat dengan kerajaan AS untuk menghasilkan pelan tindakan khusus untuk menangani masalah buruh paksa dalam sektor berkenaan.
Mengenai tindakan AS menyenaraikan produk sektor E&E Malaysia dalam senarai ‘List of Goods Produced by Child Labour or Forced Labour’, Hamim berkata ia bukan bertujuan untuk mengenakan sebarang tindakan sekatan terhadap negara.
“Sebaliknya, untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai buruh kanak-kanak dan buruh paksa di seluruh dunia bagi menggalakkan peluang kerjasama dua hala untuk menangani masalah itu,” katanya.
Mengenai tindakan penguatkuasaan, Hamim memberitahu sebanyak 25 majikan sektor E&E telah diperiksa setakat ini namun tiada sebarang unsur buruh paksaan berlaku.
Beliau berkata kementerian menjalankan kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia, Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) serta Kedutaan Amerika Syarikat bagi menjalankan siasatan dan pemeriksaan tersebut.
“Kerajaan akan terus terlibat dalam isu ini dan menyelesaikan seberapa segera bagi mengelakkan kesulitan yang akan menyebabkan nilai eksport dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terjejas,” katanya.
Hamin turut memberitahu satu bengkel akan diadakan pada 30 dan 31 Mac ini dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri, Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Kedutaan AS dan pemain industri bagi menyelesaikan beberapa isu berbangkit berhubung buruh paksaan.
Sumber: Bernama
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com