Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
PAS memberi komitmen akan membangkitkan di Dewan Negara, isu Menteri Sumber Manusia YB M. Kula Segaran bertindak bersendirian (unilateral) dalam membentangkan cadangan pindaan Akta Perhubungan Perusahaan 1967.
Setiausaha Agung PAS YB Datuk Takiyuddin Hassan memberi ketetapan itu selepas pimpinan kanan parti pembangkang itu mendengar penerangan MTUC dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) pada 14 Oktober lalu.
Delegasi MTUC ke perjumpaan tiga penjuru itu di ketuai oleh Presidennya Datuk Abdul Halim Mansor dan J. Solomon selaku Setiausaha Agung.
Turut sama dalam rombongan, Timbalan Presiden, Mohd Jafar Abd. Majid, Setiausaha Kewangan, Effendy Abdul Ghani, Naib Presiden, Jey Kumar dan beberapa pemimpin lain.
MEF diwakili oleh Hj. Zaikon Jaffar.
Selain YB Datuk Takiyuddin, pemimpin tertinggi PAS yang hadir adalah Timbalan Presiden, YB Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, YB Hajjah Siti Zailah, YB Ahmad Tarmizi Sulaiman serta beberapa senator, Ahli Parlimen dan ADUN parti.
PAS mengorak langkah mengadakan pertemuan itu bagi memahami rasional di sebalik bantahan keras MTUC dan MEF terhadap tindakan Kula Segaran membentangkan pindaan Akta Perhubungan Perusahaan secara tergesa-gesa pada 7 Oktober lalu.
Pindaan itu diluluskan Dewan Rakyat dua hari kemudian. Bagaimanapun rang pindaan kini menunggu kelulusan Dewan Negara untuk diwartakan.
Datuk Abdul Halim memberitahu delegasi PAS bahawa YB Kula Segaran membentang cadangan pindaan itu tanpa dimuktamadkan oleh Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC), sebagai yang dijanjikan oleh Menteri itu sebelum ini.
YB Kula Segaran mengambil tindakan ‘unilateral’ itu sungguhpun MTUC, yang mewakili 15 juta pekerja di Malaysia, bersama MEF, adalah ahli tetap di dalam NLAC.
Datuk Abdul Halim memberitahu pimpinan PAS bahawa pindaan undang-undang itu, jika dikuat-kuasakan tanpa mandat NLAC, boleh mencetuskan pertikaian perindustrian, konflik antara kesatuan dan di kalangan pekerja sehingga melemahkan kuasa rundingan gerakan kesatuan.
Pada taklimat itu, MTUC dan MEF turut memaklumkan pimpinan PAS bahawa tindakan Menteri meminggirkan NLAC turut melanggar Konvensyen 144 (C144) Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai Perundingan ‘Tripartite’.
Datuk Abdul Halim menegaskan bahawa Kula Segaran jelas bertindak melanggar C144 sungguhpun Malaysia meratifikasi konvensyen itu pada tahun 2002.
Beliau berkata Parlimen tidak harus bersekongkol dengan Menteri itu dengan meluluskan undang-undang yang jelas bercanggah dengan Konvensyen ILO yang didokong oleh Putrajaya selama ini.
Memandangkan Menteri jelas menyalah guna kuasa dan melanggar Konvensyen 144 ILO, MTUC dan MEF menggesa semua senator bertindak tegas dengan tidak meluluskan rang pindaan Akta Perhubungan Perusahaan itu.
Sebaliknya Dewan Negara harus merujuk kesemua lapan pindaan itu kepada NLAC supaya ia boleh diperinci dan dimuktamadkan dengan niat baik, dalam semangat ‘tripatism’ oleh pihak berkepentingan, iaitu MTUC, MEF dan kementerian.
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com