Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
KUALA TERENGGANU, 22 Okt (Bernama) — Kementerian Kesihatan mahu agensi kerajaan berkaitan memperhebatkan penguatkuasaan mengenai peraturan tempat tinggal pekerja di kawasan tapak pembinaan bagi mencegah penularan demam kepialu atau tifoid.
Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata faktor kebersihan yang diabaikan di rumah kongsi antara punca menyebabkan penularan demam kepialu dan penguatkuasaan dapat mengurangkan risiko itu di satu-satu penempatan.
“Di rumah kongsi, ada 20 pekerja asing yang duduk sebilik, berkongsi semua perkara di mana sistem sanitasi yang tidak sempurna dan sumber air yang tidak bersih digunakan untuk keperluan harian mereka.
“Ini disebabkan majikan tidak prihatin dengan kebajikan mereka dan mahu menjimatkan kos … dasar dan peraturan sudah ada, cuma penguatkuasaan sahaja yang perlu diperhebatkan agar majikan lebih bertanggungjawab terhadap tempat tinggal pekerja mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Rawatan Ibu dan Bayi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini Khamis.
Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Terengganu Datuk Muhammad Pehimi Yusof.
Mengulas lanjut, beliau berkata negara maju seperti Singapura dan Dubai adalah contoh terbaik iaitu tempat tinggal pekerja binaan dikhususkan dalam satu kawasan yang bersih dan mempunyai kemudahan asas yang lengkap.
Pada Selasa lepas, Dr Subramaniam berkata pihak kementerian mengesan kes demam kepialu bermula dari tujuh buruh binaan warga asing di tapak pembinaan di Cheras, Kuala Lumpur pada Ogos lepas.
Dalam pada itu, katanya sehingga Rabu, dua lagi kes demam kepialu direkodkan menjadikan keseluruhannya sebanyak 34 kes dicatatkan di Lembah Klang, setakat ini.
Bagaimanapun, katanya rakyat Malaysia dinasihatkan agar tidak panik kerana vaksin dijamin mencukupi dan apa yang perlu diambil berat ialah aspek kebersihan dalam pengendalian makanan.
Sumber: Bernama
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com