Gaji jadi keutamaan rakyat
22 Julai 2017 Print page
SUNGAI BESI – Kajian Invoke mendapati kenaikan gaji menjadi isu paling popular rakyat Malaysia menjelang PRU14.
Pengasas Invoke Malaysia, Rafizi Ramli berkata, isu itu menjadi persoalan utama oleh 17,107 pengundi berdasarkan Kaji Selidik Sentimen Pengundi dan Isu-Isu Utama Pilihan Raya Umum ke-14, baru-baru ini.
Katanya, kajian dibuat melalui panggilan telefon ke atas 2.67 juta pengundi berdaftar, mengikut kaum dan umur mereka dari seluruh negara, bermula 5 Jun lalu sehingga 14 Julai lalu.
“Dalam kaji selidik ini, kami membacakan enam soalan berkisar beberapa isu semasa dengan pengundi diminta menjawab soalan kami berdasarkan pilihan jawapan seperti setuju, tidak bersetuju, tidak pasti dan sebagainya.
“Daripada 2.67 juta yang dihubungi, hanya 17,107 pengundi yang menjawab kesemua soalan yang diberikan,” katanya semasa membentangkan kaji selidik itu, semalam.
Beliau berkata, tujuan kaji selidik tersebut untuk mengenal pasti isu yang paling mendapat perhatian pengundi, supaya parti yang bakal bertanding pada PRU14 dapat memberi jalan penyelesaian.
Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, soal harga dan subsidi minyak merupakan isu kedua yang menjadi perhatian responden.
“Kalau kita melihat kepada kaji selidik ini, isu GST, RUU355 serta hubungan China yang menjejaskan kedaulatan negara tidak begitu dekat di hati pengundi.
“Sehubungan itu, dalam tempoh beberapa bulan sebelum berlangsungnya PRU14 kelak, parti politik yang akan bertanding perlu membentangkan jalan penyelesaian isu yang amat penting kepada rakyat,” katanya.
Rafizi berkata, semua parti politik termasuk partinya sendiri, tidak seharusnya menunggu sehingga hampirnya detik PRU14 untuk membentangkan langkah resolusi kepada semua isu tersebut.
Ini kerana, dalam era teknologi, rakyat mahu melihat cadangan resolusi yang akan dilakukan oleh parti tersebut, sama ada relevan atau sebaliknya, sebelum mempertimbangkan untuk mengundi sesebuah parti.
Sementara itu, dalam kajian sama, Invoke Malaysia mendapati bahawa tahap sokongan majoriti pengundi lebih menjurus kepada Pakatan Harapan, berbanding pakatan politik yang lain seperti BN dan Pas.
Rafizi menjelaskan, perkiraan tahap sokongan ini berdasarkan kecenderungan mereka menjawab kesemua soalan yang diberikan.
“Walau bagaimanapun, semua hasil kaji selidik ini boleh berubah sekiranya pakatan politik dapat menarik pengundi ini, dengan menawarkan resolusi terhadap isu berbangkit,” katanya.
Source : http://www.sinarharian.com.my/nasional/gaji-jadi-keutamaan-rakyat-1.706159