Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
KUCHING: Kenyataan baru-baru ini yang mengatakan Jawatankuasa Khas Bersama (JKB) tiada kuasa mengurus hal ehwal Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), mengelirukan dan bercanggah dengan mandat eksplisit yang dinyatakan dalam perintah Mahkamah Rayuan.
Perkara itu ditegaskan Pengerusi JKB, J Solomon sambil menambah jawatankuasa itu ditubuhkan menerusi Perintah Persetujuan Mahkamah Rayuan yang diberi mandat untuk menjalankan Persidangan Perwakilan Khas serta mentadbir MTUC dalam tempoh ditetapkan.
“JKB sudah pun menetapkan tarikh Persidangan Perwakilan Khas dan mengeluarkan pekeliling kepada kesatuan gabungan.
“Kementerian Sumber Manusia sendiri telah mengiktirafkan JKB dan sekutunya menjemput ahlinya menghadiri sambutan Hari Pekerja anjuran kerajaan, sekali gus mengesahkan kesahihan dan pengiktirafan JKB sebagai badan yang menguruskan hal ehwal MTUC hari ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sehubungan itu, Solomon mendakwa keengganan Kementerian Sumber Manusia untuk mengemukakan wakil pekerja yang dihantar JKB bagi menghadiri Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) adalah ‘satu kesalahan yang dilakukan dengan sengaja.’
Beliau mendakwa, perintah mahkamah menyelesaikan krisis dalaman dan memberi mandat kepada JKB untuk menjalankan pentadbiran MTUC.
“Kementerian Sumber Manusia telah ‘menahan’ senarai nama wakil pekerja daripada menghadiri ILC bagi mengelak penelitian terhadap tindakan menteri dan kementerian pada tahun lalu yang bertentangan dengan Konvensyen 98 berhubung campur tangan dalam proses perundingan kolektif dan bersekongkol dengan majikan,” jelasnya.
Solomon mendakwa satu-satunya sebab nama wakil pekerja itu tidak dihantar oleh kementerian bagi menghadiri ILC ialah kerana kementerian mahu menggagalkan rundingan mengenai tindakan menteri di ILC.
“Agenda Kementerian inilah yang menyebabkan pekerja Malaysia tidak diwakili di ILC.
“JKB menasihati mereka yang membuat kenyataan menyokong Menteri Sumber Manusia secara membuta tuli supaya berhati-hati kerana pembohongan boleh menjadi ‘bumerang’dan mengakibatkan penghinaan mahkamah,” ujarnya.
Pada Rabu, MTUC Sarawak menggesa JKB mengutamakan usaha menyelesaikan kebuntuan kepimpinan dan mengelak membuat kenyataan yang boleh mengelirukan pekerja serta pihak berkepentingan.
Menurut MTUC Sarawak, JKB telah diberi mandat khusus untuk mengendalikan Persidangan Perwakilan Khas MTUC dalam tempoh tiga bulan.
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com