Malaysia rekodkan 920,624 syarikat perniagaan aktif
21 Jun 2017 Print page
KUALA LUMPUR 20 Jun – Malaysia merekodkan sejumlah 920,624 syarikat perniagaan yang aktif beroperasi di negara ini pada tahun 2015 berbanding 663,010 pada 2010.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, ia merupakan pertumbuhan tahunan sebanyak 6.85 peratus dan peningkatan itu sejajar dengan pertumbuhan pesat ekonomi negara dalam tempoh lima tahun tersebut.
Beliau berkata, kesemua syarikat perniagaan tersebut telah menjana pengeluaran (output) sebanyak RM2.5 trilion dengan kadar pertumbuhan 7.0 peratus setahun.
Katanya, dari segi struktur terkini ekonomi negara, sektor pembuatan kekal sebagai penyumbang utama kepada nilai pengeluaran negara yang buat pertama kalinya mencecah RM1.1 trilion.
“Dari segi struktur terkini ekonomi negara, sektor perkhidmatan masih kekal sebagai penyumbang utama dengan 52.6 peratus, meningkat daripada 51.0 peratus, diikuti sektor pembuatan 26.3 peratus berbanding 25.6 peratus.
“Namun, bagi sektor perlombongan dan kuari, walaupun menjadi penyumbang ketiga terbesar, sektor ini menunjukkan penyusutan sumbangan daripada 14.0 peratus kepada 10.5 peratus.
“Penyusutan ini terutamanya disebabkan oleh penurunan harga minyak dan gas pada tahun tersebut yang memberi kesan kepada sumbangan bagi sektor ini,” katanya dalam pembentangan Laporan Penemuan Utama Banci Ekonomi 2016 di sini hari ini
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Perangkawan, Dr. Mohd. Uzir Mahidin.
Tambah Abdul Rahman, keseluruhan nilai tambah yang dijana oleh syarikat perniagaan aktif pada tahun 2015 adalah sebanyak RM983.0 bilion dengan industri pengekstrakan petroleum dan gas menjana nilai tambah tertinggi iaitu sebanyak RM92.3 bilion.
“Hasil Banci Ekonomi juga merekodkan sejumlah 8.7 juta pekerja di sektor swasta pada tahun 2015 dengan peningkatan 4.6 peratus setahun sejak 2010.
“Dalam tempoh lima tahun tersebut, sebanyak 1.7 juta pekerjaan berjaya diwujudkan dengan 59.0 peratus daripadanya adalah dalam sektor perkhidmatan,” katanya.
Source : http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/malaysia-rekodkan-920-624-syarikat-perniagaan-aktif-1.495502#ixzz4kbe04jgF