Malaysia is one of Asia's biggest employers of foreign labour. But recently, cases of deaths, abuse and forced labour have come to light. What is going on? Who is protecting these migrant workers?
Oleh Rafzan Ramli
Tanggal 7 Ogos 2007 jam 5.48 ptg adalah dengan rasminya saya kini bergelar seorang bapa. Segala debaran yang terkumpul selama lebih sembilan bulan sudah terjawab. Saya telah dikhabarkan berita gembira ini oleh jururawat bahawa bayi yang dilahirkan adalah selamat, sihat dan sempurna. Saya dengan segera memberitahu penyelia ditempat saya bertugas bahawa kini saya sudah menjadi seorang bapa. Ini bertujuan bagi melayakkan saya untuk mendapat cuti ehsan (compassionate leave) berbayar selama dua hari dari tempat saya bekerja.
Cuti Bersalin Isteri
Cuti bersalin adalah salah satu aspek dalam perundangan buruh yang sering dilihat sebagai isu yang kurang penting jika dibandingkan dengan isu-isu pekerja yang lain contohnya, isu gaji. Ini amat menyedihkan bilamana hakikatnya, cuti bersalin untuk pekerja wanita telah diiktiraf sebagai salah satu hak asasi wanita bekerja yang perlu dilindungi dan direalisasikan oleh negara. Perkara 11(2)(b) Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) menyatakan bahawa negara ahli harus memperuntukan cuti bersalin berbayar atau dengan faedah sosial yang berkadaran dengannya tanpa hilang pekerjaan, senioriti dalam pekerjaan atau elaun sosial. Malaysia telahpun menandatangani konvensyen ini pada tahun 1995 dan menerima Perkara 11(2)(b) sepenuhnya. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memenuhi kewajipannya di bawah konvensyen tersebut.
Mengikut peruntukan Akta Kerja 1955 (Akta 265) pula, pihak majikan wajib memberi cuti bersalin berbayar selama 60 hari berturut-turut untuk pekerja wanita yang melahirkan anak bagi kelahiran pertama hingga kelima. Bagi kakitangan awam pula, mengikut Pekeliling Perkhidmatan Tahun 2 1998, pihak kerajaan telah memperuntukkan cuti bersalin bagi pekerja wanita dari 42 hari kepada 60 hari secara berturut-turut. dan boleh melanjutkan cutinya sehingga 90 hari lagi tanpa gaji. Cuti ini dikenali sebagai Cuti Menjaga Anak. Utusan Malaysia pada 4 september 2007 melaporkan, Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak (waktu itu) dengan persetujuan kabinet telah mengeluarkan kenyataan bahawa kakitangan awam wanita yang bersalin boleh melanjutkan cuti bersalin tanpa bayaran sehingga lima tahun tanpa mengabaikan kenaikan gaji tahunan. Ini bertujuan bagi memberi peluang dan masa yang lebih kepada pekerja wanita untuk menjaga serta mendidik anak mereka. Langkah proaktif yang diambil oleh pihak kerajaan merupakan satu langkah “mesra keluarga” yang juga satu khabar gembira bagi kakitangan awam wanita. Tapi harus diambil perhatian bahawa dimanakah sumber pendapatan ibu-ibu tersebut untuk 4 tahun 10 bulan? Memandangkan kos sara hidup kini yang kian meningkat, adalah mustahil seseorang kakitangan awam itu sanggup untuk menyambung cuti bersalin tanpa bayar bagi menyara kehidupan keluarganya.
Artikel 3 (2) Konvensyen Perlindungan Materniti (Disemak) 1952, No. 103 ILO (International Labour Organisation) menyebut bahawa cuti bersalin yang layak diberikan kepada si ibu yang bersalin adalah sekurang-kurangnya 12 minggu atau 90 hari. Pada 30 Mei 2002, persidangan ILO yang ke-88 mengenai hak perlindungan materniti sekali lagi telah mencadangkan di dalam Artikel 4 (1) agar cuti bersalin yang layak diberikan adalah sekurang-kurangnya 14 minggu, iaitu dua minggu lebih berbanding 50 tahun yang lalu (convention Maternity Protection 2000 (C183). Di Malaysia cuti bersalin berbayar yang dibenarkan hanyalah selama 60 hari. Ini jelas menunjukkan bahawa polisi cuti bersalin yang diterima pakai di Negara kita ini masih jauh ke belakang dan tidak mesra keluarga.
Didapati lebih dari seratus negara di seluruh dunia telah mengikut saranan yang diberikan oleh ILO iaitu sekurang-kurangnya 12 minggu. Ini bukan sahaja diamalkan di negara maju sahaja, malahan banyak negara dunia ketiga telah melaksanakannya. Ini termasuklah negara jiran terdekat iaitu Singapura dan Indonesia yang memperuntukkan cuti selama 90 hari berbayar. Menurut Presiden Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Sdr. Omar Osman, Malaysia berada di tempat ke 29 dalam senarai 166 negara yang memperuntukkan cuti bersalin kurang daripada 12 minggu. Kenyataan Presiden CUEPACS ini menunjukan ketidakperihatinan kerajaan Malaysia dalam mengiktiraf jasa dan pengorbanan pekerja-pekerja wanita di negara ini.
Mengikut statistik, 43% dari keseluruhan guna tenaga kerja di negara ini adalah terdiri dari golongan wanita. Melanjutkan cuti bersalin kepada 90 hari adalah wajar kerana ia dapat memastikan wanita akan menjaga dan menyusu bayi mereka dengan sepenuhnya bagi tempoh tersebut di samping memastikan mereka benar-benar pulih dan bersedia kembali untuk bekerja dengan lebih produktif. Selain itu, ibu yang menyusu bayinya akan dapat mengeratkan hubungan antara mereka serta memberi kesan psikologi dan fizikal yang baik.
Cuti Bersalin Untuk Bapa (Paternity leave)
Bagaimana dengan si bapa, adakah dia layak mendapat cuti sempena kelahiran anaknya? Akta Kerja 1955 tidak langsung memperuntukkan cuti bagi pekerja lelaki jika isterinya melahirkan anak. Ini secara jelas menunjukkan bagaimana peranan bapa diketepikan serta tidak diiktiraf di sisi undang-undang dalam menyambut kelahiran anaknya. Kebanyakan syarikat atau majikan tidak langsung memperuntukkan cuti khusus kerana kelahiran bayi untuk kakitangan lelaki. Kebanyakan dari cuti yang diberikan dikelaskan sebagai cuti ehsan. Malahan, terdapat juga syarikat yang langsung tidak memperuntukkan cuti bersalin isteri untuk pekerja lelaki. Bagi menguruskan kedatangan insan baru ke dunia ini, si suami pasti akan menggunakan cuti tahunannya atau cuti tanpa gaji bagi menguruskan soal bayinya.
Mereka yang menganggap tanggungjawab menguruskan anak terutamanya yang baru lahir, terletak di atas bahu si ibu, haruslah mengubah persepsi ini. Di dalam Konvensyen Hak Kanak-Kanak yang juga telah ditandatangani oleh Malaysia pada tahun 1995, si anak mempunyai hak untuk dibesarkan secara bersama oleh ibu dan bapa. Ini dinyatakan dengan jelas di dalam Perkara 18 Konvensyen tersebut.
Dari segi undang-undang buruh pula, Akta kerja 1955 haruslah dikaji semula dan dipinda dengan memperuntukkan cuti “paternity” berbayar selama tujuh hari untuk kakitangan swasta lelaki sama seperti apa yang dinikmati oleh kakitangan awam lelaki. Ini adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada bapa untuk bersama-sama berkongsi peranan menguruskan kelahiran anaknya itu. Cuti ini juga wajar kerana banyak urusan rasmi yang harus diselesaikan oleh si suami sempena kelahiran anaknya contohnya urusan pendaftaran sijil beranak anak tersebut.
Selain itu, seorang suami adalah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pengurusan isterinya yang bersalin. Sebagai contoh, si suami harus menguruskan penghantaran isterinya pulang ke rumah dari hospital sesudah bersalin atau sekiranya sesebuah pasangan itu bekerja jauh dari kampung asalnya, maka si suami akan memerlukan masa untuk menghantar anak dan isteri yang akan berpantang di kampung. Kerja-kerja menguruskan rumah pula akan diambil alih dan digalas sepenuhnya oleh si suami. Justeru, dengan memberikan cuti paternity kepada si suami, si suami dapat memainkan peranan dan tanggungjawabnya seterusnya mengeratkan lagi hubungan suami isteri serta mengukuhkan institusi kekeluargaan.
Anak Angkat
Sudah menjadi lumrah bahawa setiap pasangan yang berkahwin menginginkan cahaya mata. Namun, tidak semua pasangan dapat memberikan zuriat. Terdapat banyak kes pasangan yang tidak mempunyai zuriat mengambil jalan alternatif dengan mengambil anak angkat bagi memenuhi naluri keibubapaan mereka. Pengambilan anak angkat oleh sesetengah pasangan tidak hanya dapat memenuhi kehendak naluri keibubapaan pasangan tersebut, malahan bagi anak yang diambil itu mereka akan mendapat perhatian yang sepenuhnya serta kasih sayang dari ibu bapa angkatnya.
Bagi kebanyakan bayi atau kanak-kanak, pengambilan mereka sebagai anak angkat merupakan satu peluang untuk mereka melalui pengalaman kehidupan berkeluarga. Tindakan mengambil anak angkat juga dapat menyelamatkan anak itu daripada hidup bersendirian kerana yatim piatu, hidup bersama ibu bapanya yang bermasalah seperti ketagihan dadah ataupun dalam sesetengah keadaan, keluarganya benar-benar tidak mampu memberikan kasih sayang atau membesarkan anaknya dengan sempurna dek desakan kemiskinan.
Kehadiran warga baru di dalam keluarga sudah pasti sedikit sebanyak akan mengubah jadual kehidupan sesuatu pasangan. Tidak ada undang-undang yang memperuntukkan cuti untuk pasangan yang mengambil anak angkat. Justeru, pasangan tersebut terpaksa menggunakan cuti tahunannya atau cuti tanpa gaji bagi membiasakan diri mereka dengan situasi baru ini.
Adalah wajar jika pasangan yang mengambil anak angkat secara sah dengan mengikut peruntukan undang-undang (Akta Pengangkatan, 1952 (Akta 257), wajib diberikan cuti bergaji yang sama lamanya atau hampir seperti cuti bersalin. Cuti ini atau “cuti anak angkat” bukanlah perkara asing di sektor pekerjaan. Di negara maju seperti United Kingdom telah pun melaksanakannya iaitu dengan memberikan cuti selama 52 minggu yang mana 39 minggu daripadanya adalah berbayar.
Cadangan
Untuk melanjutkan cuti bersalin isteri kepada 90 hari, cuti bersalin isteri untuk si suami selama tujuh hari dan memperkenalkan “cuti anak angkat” memerlukan pindaan Akta, maka ia haruslah mendapat persetujuan dua pertiga ahli parlimen dan agak mustahil untuk merealisasikannya buat masa ini. Ini dibuktikan yang mana apabila syor melanjutkan cuti bersalin disuarakan ke peringkat kabinet oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, ianya mendapat tentangan hebat daripada kerajaan pusat Barisan Nasional dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF). Berbagai alasan diberikan oleh mereka dan di antaranya adalah kesan cuti bersalin yang panjang mampu menggugat kestabilan produktiviti dan ekonomi negara.
Sebagai permulaan, disarankan agar isu ini diketengahkan ke peringkat kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PKR-PAS-DAP) untuk diterimapakai di sektor awam. Pihak-pihak yang bertanggungjawab seperti CUEPACS, MTUC atau pertubuhan bukan kerajaan haruslah memainkan peranan yang aktif dalam merealisasikannya. Dialog serta perbincangan yang serius haruslah kerap dilakukan bagi meyakinkan pentadbiran kerajaan negeri. Ini adalah tidak mustahil kerana kerajaan Kelantan pimpinan PAS telah pun melaksanakannya selepas merampas Kelantan dari Barisan Nasional tahun 1995 dengan melanjutkan cuti bersalin kakitangan awam negeri Kelantan dari 42 hari ke 60 hari.
Bagi kakitangan swasta pula, pihak MTUC haruslah memainkan peranan aktif dan konsisten di dalam memberi tekanan kepada pihak kerajaan. Selain itu, para pekerja juga harus bangun dan sedar serta terlibat aktif di dalam kesatuan sekerja di dalam memperjuangkan isu ini. Pekerja harus sedar bahawa hanya Kesatuan Sekerja sahaja yang dapat mengubah Akta Kerja yang lapok ini melalui “Perjanjian Bersama”. Selain itu Badan-badan bukan kerajaan yang membela nasib wanita juga harus mengambil peranan aktif dalam memberi tekanan kepada pihak kerajaan.
Kesimpulan
Kesimpulannya, cuti bersalin serta cuti mengambil “anak angkat” untuk suami dan isteri yang bergaji bukanlah suatu perkara yang asing, malahan ia telahpun diterima pakai oleh kebanyakan Negara di dunia ini. Walaupun isu ini mungkin dianggap isu remeh oleh sesetengah pihak, namun, harus disedari yang isu ini adalah isu asas dalam pembinaan institusi keluarga. Bayi yang dilahirkan haruslah mendapat didikan, kawalan, tunjuk ajar serta kasih sayang yang baik dan sempurna supaya akan menjadi manusia yang lebih berguna kepada negara pada masa depan. Pada masa yang sama, suami dan isteri haruslah bersama-sama merancang kehidupan dengan hadirnya “orang baru” ini.
Sekiranya kerajaan benar-benar beriltizam untuk meningkatkan produktiviti pekerja wanita dan pada masa yang sama, memelihara hak mereka terhadap keluarga, maka tunaikanlah cadangan pelanjutan cuti bersalin di samping mempertimbangkan cuti untuk pasangan yang mengambil anak angkat.
Address: Wisma MTUC,10-5, Jalan USJ 9/5T, 47620 Subang Jaya,Selangor | Tel: 03-80242953 | Fax: 03-80243225 | Email: sgmtuc@gmail.com.com